18 June 2011

Dari Majlis Kahwin ke Majlis Bertunang...














Cuti persekolahan penggal pertama 2011 telah pun berakhir, kini masa untukku menyambung tugasan sehingga ke penghujung penggal ke-2 pula. Bagi anak-anak didikku terutamanya yang berada dalam Tahun 6, inilah masanya untuk berusaha dengan lebih gigih. Tempoh masa yang semakin singkat pastinya mengundang debaran yang memuncak dalam membuat persediaan. Ibarat seorang mujahid yang akan turun ke medan pertempuran, segala persiapan perlu lengkap agar tidak gugur sia-sia di tangan musuh.

Di Dalam "portable hard disk"ku tersimpan hampir 800 keping gambar-gambar sepanjang 2 minggu cuti persekolahan ini. Bermula dengan gambar-gambar perkahwinan, gambar-gambar pemandangan di kampung halamanku di Johor, dan akhir sekali gambar-gambar di majlis pertunangan. Majlis perkahwinan dan pertunangan itu pula melibatkan anak-anak saudara sebelah isteriku. Walau pun tidak berbayar tetapi ku anggap itu adalah sebahagian daripada tanggungjawabku sebagai bapa saudara untuk merakamkan detik-detik berbahagia mereka. Jadilah sebagai kenangan-kenangan. Kebanyakkannya telah diedit manakala selebihnya akan mengambil masa memandangkan tugasan wajibku kini telah pun bermula.

Jika hendak dibandingkan mutunya dengan photografer-photografer berpengalaman seperti "langit dengan bumi". Masih banyak yang perlu aku pelajari di dalam bidang ini. Berkenalan dengan rakan-rakan dalam bidang ini banyak membantuku dalam memahami kemahiran-kemahiran yang diperlukan oleh seorang jurugambar. Mujurlah ada di antara mereka yang tidak lokek ilmu. Sanggup berkongsi walau pun itu merupakan rahsia mereka. Sememangnya aku cukup hormat kepada rakan sebegini. Hebat tetapi sanggup memperhambakan diri untuk berkongsi apa yang dimiliki mereka. Semoga insan-insan sebegini akan terus maju dan sentiasa dimurahkan rezeki mereka oleh ALLAH SWT...

P/S : Cuti ini aku berpeluang menjenguk kedua-dua ibubapaku di kampung. Terubat sedikit kerinduanku terhadap mereka walau pun hanya sempat 4 hari 5 malam di sana. Apa pun aku mengharapkan mereka redha ke atas ku..."Selamat Hari Bapa kepada Abahku di Endau, banyak nasihat dan bimbinganmu yang menjadi pedomanku sepanjang bernafas di dunia..." 

No comments:

Siapa Anda???

SALAM PERKENALAN - SALAM PERSAHABATAN

Berasal dari Endau, Johor Darul Takzim . Merantau ke Perak pada bulan Disember 1994 , setelah mendapat tawaran untuk mengikuti kursus perguruan di Maktab Perguruan Ipoh (kini Institut Perguruan Guru Kampus Ipoh) . Telah pun berkeluarga dan mempunyai sepasang cahaya mata .

Blog ini berjaya dijelmakan pada 20 November 2007 tepat jam 0930 semasa "aku" berkursus ICT di SK Dato Panglima Kinta , Ipoh, Perak . Bertepatan dengan tajuk yang diajarkan "aku" mengambil peluang untuk merealisasikan blog peribadi sendiri .

Hanya pada 17 April 2011 , aku membuat perubahan pada "URL"nya . "URL" lama telah digantikan kepada pijul09 . blogspot . com . Imej dan isi kandungannya tetap sama .

Blog ini diumpamakan sebuah diari . Di sini "aku" dapat bercerita tentang aktiviti seharian disamping mengutarakan pendapat serta pandanganku .

Semoga tiada sesiapa yang mempersoalkan isi kandungan blog ini dan menerima seadanya . Walau bagaimana pun segala sokongan dan teguran yang membina daripada rakan-rakan sangatlah diharapkan agar blog ini menjadi semakin mantap dari sehari ke sehari .

Terima kasih daun keladi kerana sudi menjengah ke "suatu sudut kecil" yang tidak seberapa ini . Hanya ALLAH yang mampu membalas budi baik tuan-tuan dan puan-puan sekalian...

Wassalam ... Adios ... Amigos ...

Pijul,
Ipoh , Perak .