03 Mei 2012

Duniaku...



Mungkin benar dunia ini semakin lama semakin pelik. Semakin lama semakin nyanyuk. Dunia pun sudah terlalu tua. Jika pada zaman Rasulullah, dunia digambarkan seperti seorang perempuan tua yang bongkok. Apatah lagi pada zaman kita ini, sudah tentutlah tahap ke"tua"annya adalah tahap "gaban" (meminjam kata-kata rakan sekerjaku). Tetapi adakah benar dunia yang tua atau manusia itu yang berperangai lebih tua dan lebih nyanyuk?

Memperkatakan tentang dunia maka banyaklah perkara-perkara pelik yang berlaku. Pelik kerana banyak perkara yang tidak baik menjadi suatu kebiasaan kepada kita. Manusia yang berperangai pelik disanjung dan diberikan pelbagai pengikhtirafan. Semuanya kerana usaha-usaha mereka yang mempamerkan keunikan. Tujuannya untuk memperlihatkan mereka lebih pelik daripada orang lain. Banyak contohnya. Kita boleh perhatikan saban hari sama ada di sekeliling kita atau pun di tempat-tempat lain.

Suatu hari, "aku" memandu kereta untuk ke bandar Ipoh bersama isteri dan anak-anakku. Aku memilih lorong sebelah kiri kerana kenderaanku dipandu dengan kelajuan yang sederhana. Maka berlakulah perkara pelik apabila sebuah bas dibelakang kami membunyikan hon berulang-ulangkali. Bas memberikan isyarat agar "aku" memandu dengan lebih laju lagi. Pelik kerana "aku" berada di sebelah lorong kiri. Jika berada di sebelah lorong kanan, "aku" akui itu merupakan kesalahanku kerana telah menghalang pergerakan kenderaan lain yang lebih laju.

Pelikkan. Orang yang memandu di sebelah kiri yang lorongnya boleh dipandu dengan kelajuan sederhana dimarahi tetapi orang yang memandu di sebelah kanan dengan kelajuan yang perlahan tidak merasakan perbuatannya adalah suatu kesalahan. Barangkali masa belajar memandu, guru kelas memandunya mengajarkan ilmu yang sedemikian. Atau barangkali juga memang pemandu ini jenis bermuka tebal seperti kulit biawak. Tidak kisah dan peduli dengan apa yang orang kata. Mungkin juga jalan raya tersebut milik dirinya seorang.

P/S : Pelik bin Ajaib. Ajaib bin Pelik. Lebih Ajaib bin Pelik dan Pelik bin Ajaib apabila manusia tidak kisah dengan perintah dan suruhan ALLAH. Solat 5 waktu diabaikan. Agama pula dipermainkan sepanjang masa...


01 Mei 2012

Sukarela...


Kehidupan ini sesuatu yang unik. Walau pun hanya sementara tetapi banyak yang ditempuhi. Banyak pula yang perlu dicapai. Impian manusia berbeza-beza dan disebabkan perbezaan tersebut kehidupan kita penuh dengan warna-warninya.

Ada kenalan yang bertanya, "Dah elok-elok jadi cikgu. Mengapa pula sibuk-sibuk untuk menyertai wataniah.? Mengapa perlu berhujan dan berpanas? Menempuh segala macam keperitan dan hidup di bawah tekanan. Bukankah lebih baik tinggal di rumah menjaga isteri dan anak-anak. Pagi-pagi pergi ke sekolah mendidik murid-murid agar manjadi manusia yang berguna."

Ada juga berpendapat bahawa penglibatanku ini sebagai alasan untuk meninggalkan dunia persekolahan (maaf andainya pendapatku ini tidak benar). Mengikuti kursus ketenteraan bagi mereka ibarat menyertai kursus dalam perkhidmatan awam. Berehat-rehat dan bersantai. Makan minum dijamu dan diletakkan dihotel yang berhawa dingin. Malah tempat kursusnya juga selesa dangan pelbagai kemudahan yang disediakan.

Realitinya kursus dalam perkhidmatan awam dan kursus ketenteraan untuk anggota sukarela di Pusat Latihan Askar Wataniah (PUSWATAN) adalah berbeza. Kami bangun seawal jam 0500. Selepas solat Subuh, kami sudah pun berada di padang untuk mengikuti PT pagi selama sejam. Ada juga yang termuntah hijau. Dunia kelihatan berpusing-pusing setelah disuruh berguling dari tiang gol ke tiang gol. Bermula jam 0800, kami akan berada di dewan. Mengikuti pelajaran yang disampaikan oleh para jurulatih yang berkaliber. 

Jika mengikuti latihan medan pula, kami akan berhujan dan berpanas. Mengali kubu sedalam 4 - 5 meter. Darah kami menjadi santapan pacat-pacat yang begitu rakus. Tidak kurang juga ada yang terpaksa menghadapi peristiwa-peristiwa mistik di hutan. Namun itu semua tidak mengentarkan hati kami. Segalanya dilalui dengan tabah sehingga berakhirnya kursus. Dan tanpa aku sedari, sudah 4 kursus telah berjaya dilalui. 1 di Rejimen 503 (Kursus Kadar - 2007) manakala 3 lagi di PUSWATAN (Kursus Bakal Pegawai - 2009, Ketua Platun - 2011 dan Senjata Bantuan - 2012).

Sebenarnya setiap anggota sukarela digalakkan menyertai kursus-kursus peningkatan yang dianjurkan di Puswatan. Ini perlu untuk melayakkan seseorang anggota tersebut dipakaikan pangkat mengikut tahap pengetahuan dan pengalaman mereka. Pemakaian pangkat kepada anggota bukannya boleh dibuat sesuka hati. Hanya yang benar-benar layak dan telah mengikuti kursus-kursus yang diperlukan sahaja yang akan dipakaikan pangkat. Pemakaian pangkat dalam angkatan sukarela merupakan suatu tradisi kemegahan. Tauliah untuk seseorang pegawai adalah tauliah "Yang Dipertuan Agong". Jadi sewajarnyalah kami berbangga kerana bukan semua orang memilikinya.

Selain itu, ada juga anggota-anggota yang mengikuti kursus untuk menimba dan menambah ilmu di dada. Ilmu dalam bidang ketenteraan berguna apabila berlaku sebarang konflik di mana anggota-anggota sukarelawan ini akan dikerah oleh negara. Pada masa ini, sekiranya anggota tidak memiliki ilmu peperangan sudah pasti anggota sukarela akan menjadi "papan target". Terkulai dimamah peluru musuh disebabkan kebodohan dan kejahilan sendiri.

P/S : Insyaallah  jika semuanya berjalan lancar, pertengahan Mei ini aku akan mengikuti satu lagi kursus. Pelengkap 3 kursus yang ditetapkan untuk seorang Pegawai Muda (Pegawai baru). Mungkin ini adalah kursusku yang terakhir di Puswatan...

09 April 2012

Dayus ke? Eh, mana ada...


(Gambar perkongsian daripada facebook)

Berat rupa-rupanya tenggungjawab menjadi suami. Bukan sekadar menyempurnakan majlis akad nikah tetapi dari situlah bermulanya suatu perjalanan yang panjang. Alangkah malangnya jika kita sebagai suami gagal dalam  menentukan haluan bahtera sebuah perkahwinan. 

Bahtera dibiarkan bergerak sendiri. Nakhodanya hanya terdiam memerhati. Gelodak di dalam jiwa dibiarkan terpendam hanya kerana kasihnya kepada anak-anak kapal. Akhirnya bahtera semakin hilang kawalan dan nakhodanya tidak lagi mampu melakukan apa-apa. Hanya sekadar membiarkan bahteranya berlayar tanpa hala tujuan yang khusus.

Sebagai suami marilah kita mendalami ilmu. Hanya ilmulah yang akan menjaga kita di dunia dan di akhirat. Jadi tepuk dada tanyalah iman di manakah letaknya harga diri kita sebagai suami. Dayuskah atau tidak?

P/S : Jangan tersalah sangka pula dengan perkataan "dayus". Rasanya tidaklah sekasar mana. Hanya istilah agar kita dapat memahami dengan lebih jelas. Begitu juga "jahil" dan "tidak berilmu" sama sahaja maksudnya. Penyelesaiannya, carilah ilmu...

07 April 2012

Orang Lama Orang Baru...


(Gambar Ihsan Daripada Abi Muhammad)


Sekolah merupakan tempat untuk menuntut ilmu. Murid hadir atas satu niat. Niat untuk mempelajari sesuatu agar menjadi ilmu berguna buat mengharungi cabaran dunia masa kini. Paling penting sebagai mencari kebahagian di akhirat kelak.

Alangkah ruginya sekiranya murid tidak menggunakan peluang ini sepenuhnya. Ada murid yang datang dalam keadaan “sifar” dan apabila loceng berbunyi menandakan waktu pulang, mereka masih tetap dalam berkeadaan “sifar”. Seolah-olah tiada sebarang impak sepanjang mereka berada di sekolah. 

Ini mungkin berpunca daripada kegagalan kita dalam memastikan objektif yang dirangka tercapai. Segala kelemahan perlu dikenalpasti segera. Kita seharusnya memperbaiki segala kelemahan yang dimiliki. Gunakan pelbagai strategi agar kita mampu menarik minat murid mengikuti setiap pelajaran yang diajar. 

Mengajar merupakan suatu proses pembelajaran sepanjang masa. Kita bukan sahaja perlu memahami teori-teori pengajaran. Kita perlu menjadikan pengalaman sebagai teman yang paling rapat. Guru-guru berpengalaman perlu didekati. Mereka biasanya mampu mengenalpasti kaedah terbaik untuk murid-murid mereka. 

Guru-guru muda sepatutnya menjadikan guru-guru lama sebagai mentor. Cungkil dan timbalah ilmu daripada guru-guru lama agar prestasi pelajar dapat dipertingkatkan. Jadilah kawan rapat dan bukannya sebagai musuh yang perlu diperangi.

Yang Muda Disayangi, Yang Tua Dihormati…

P/S : Jadikanlah profesion perguruan sebagai tempat mencari redha Allah dan bukannya hanya kerana ganjaran dunia semata-mata...

Published with Blogger-droid v2.0.4

03 April 2012

Kita Jadi Orang Lain???



Ada seorang lelaki yang bekerja sebagai pemecah batu di sebuah kaki bukit berhampiran kampungnya. Pekerjaan tersebut telah dilakukannya sejak dia berusia belasan tahun lagi. Kini sudah hampir 25 tahun dia bekerja dalam bidang tersebut.

Setiap hari dia akan memecahkan batu-batu di bukit itu. Selain dirinya terdapat berpuluh lagi tenaga kerja sepertinya. Mereka bekerja dengan tekun demi mendapatkan rezeki yang halal. Rezeki yang akan digunakan untuk menyara kehidupan isteri dan anak-anak mereka. 

Kemudian batu-batu ini akan diangkut pula oleh pekerja lain ke sebuah tempat (bolehlah dikatakan sebagai kilang) untuk dijadikan barang-barang pembinaan. Zaman tersebut penggunaan jentera dan mesin masih lagi kurang meluas. Hanya tenaga daripada tulang 4 kerat yang menjadi taruhan agar setiap kerja dapat dilaksanakan dengan baik.

Pada suatu hari takkala dia sedang berehat, dia terpandang ke langit. Dilihatnya matahari memancarkan cahayanya meliputi seluruh alam. Cahayanya yang terik sudah cukup untuk mengerunkan manusia. Jika ia hampir sudah tentu badan manusia akan terbakar hangus.

Si Pemecah Batu itu terfikir dibenaknya, "Alangkah baiknya jika aku dapat menjadi matahari. Mampu memancarkan cahaya menyinari alam. Mampu juga menghangatkan tubuh manusia. Hebatnya..." Si Pemecah Batu mengomel sendirian.

Tiba-tiba dia terasa angin bertiup kencang menampar ke pipinya. Hembusan angin menyedarkannya daripada lamunan. Dia merasakan kedinginan. Dilihatnya matahari telah pun dilindungi awan. Cahayanya kini terhalang daripada sampai menerjah ke bumi.

"Hebatnya awan, matahari yang sebegitu gagah pun dapat ditumpaskannya. Kalaulah aku manjadi seperti awan itu alangkah hebatnya diriku ini. Manusia sudah pasti akan kagum dengan kemampuan diriku." Sekali lagi Si Pemecah Batu itu menyuarakan keinginannya.

Dia terus memandang ke arah awan yang sedang ditiup angin itu. Awan itu bergerak ke arah sebuah bukit. Terpecah dua apabila melalui kawasan bukit. Awan yang tadinya gagah, sekarang telah berpecah-pecah. Kian lama kian hilang daripada pandangan mata.

Si Pemecah Batu memerhatikan kejadian itu. Keinginannya untuk menjadi seperti awan terus pudar. Dia melihat ke arah bukit. Mula-mula ke arah kawsan puncak dan terus ke kaki bukit. Di kaki bukit dia memerhatikan batu-batunya telah hancur berderai. Bukit yang sebegitu gagah pun dapat dihancurkan oleh manusia.

Barulah dia menyedari bahawa selama bertahun-tahun bukit itu dihancurkan olehnya. "Hebat rupa-rupanya aku. Hanya dengan berbekalkan kekuatan dan pengalaman aku mampu menghancurkan batu-batu ini." Si Pemecah Batu melahirka rasa kekagumannya.

"Tetapi tanpa kuasa ALLAH, aku tidak akan mampu melaksanakannya. Hasil pekerjaaan inilah yang telah menyara kehidupan kami anak-beranak." Dia menambah lagi.

Tanpa disedari, air matanya berlinang apabila mengenangkan hebatnya dia sebagai seorang manusia di bumi ini...

P/S : Jadilah diri kita sendiri. Kehebatan orang laian sewajarnya menjadi pendorong kepada kita untuk melakukan yang terbaik. Kita tidak mungkin menjadi orang lain kerana diri kita sememangnya hebat. Hanya kita sahaja yang tidak menyedari. Mungkin juga kita terlalu merendah diri...

Siapa Anda???

Siapa Aku...

SALAM PERKENALAN - SALAM PERSAHABATAN

Berasal dari Endau, Johor Darul Takzim . Merantau ke Perak pada bulan Disember 1994 , setelah mendapat tawaran untuk mengikuti kursus perguruan di Maktab Perguruan Ipoh (kini Institut Perguruan Guru Kampus Ipoh) . Telah pun berkeluarga dan mempunyai sepasang cahaya mata . Aku kini bertugas di SK Tasek Damai , Ipoh , Perak sejak Januari 2008 .

Blog ini berjaya dijelmakan pada 20 November 2007 tepat jam 0930 semasa "aku" berkursus ICT di SK Dato Panglima Kinta , Ipoh, Perak . Bertepatan dengan tajuk yang diajarkan "aku" mengambil peluang untuk merealisasikan blog peribadi sendiri .

Hanya pada 17 April 2011 , aku membuat perubahan pada "URL"nya . "URL" lama telah digantikan kepada pijul09 . blogspot . com . Imej dan isi kandungannya tetap sama .

Blog ini diumpamakan sebuah diari . Di sini "aku" dapat bercerita tentang aktiviti seharian disamping bebas untuk mengutarakan pendapat serta pandanganku .

Semoga tiada sesiapa yang mempersoalkan isi kandungan blog ini dan menerima seadanya . Walau bagaimana pun segala sokongan dan teguran yang membina daripada rakan-rakan sangatlah diharapkan agar blog ini menjadi semakin mantap dari sehari ke sehari .

Terima kasih daun keladi kerana sudi menjengah ke "suatu sudut kecil" yang tidak seberapa ini . Hanya ALLAH yang mampu membalas budi baik tuan-tuan dan puan-puan sekalian...

Wassalam ... Adios ... Amigos ...

Pijul,
Klebang Putra ,
Ipoh , Perak .