Kehidupan ini sesuatu yang unik. Walau pun hanya sementara tetapi banyak yang ditempuhi. Banyak pula yang perlu dicapai. Impian manusia berbeza-beza dan disebabkan perbezaan tersebut kehidupan kita penuh dengan warna-warninya.
Ada kenalan yang bertanya, "Dah elok-elok jadi cikgu. Mengapa pula sibuk-sibuk untuk menyertai wataniah.? Mengapa perlu berhujan dan berpanas? Menempuh segala macam keperitan dan hidup di bawah tekanan. Bukankah lebih baik tinggal di rumah menjaga isteri dan anak-anak. Pagi-pagi pergi ke sekolah mendidik murid-murid agar manjadi manusia yang berguna."
Ada juga berpendapat bahawa penglibatanku ini sebagai alasan untuk meninggalkan dunia persekolahan (maaf andainya pendapatku ini tidak benar). Mengikuti kursus ketenteraan bagi mereka ibarat menyertai kursus dalam perkhidmatan awam. Berehat-rehat dan bersantai. Makan minum dijamu dan diletakkan dihotel yang berhawa dingin. Malah tempat kursusnya juga selesa dangan pelbagai kemudahan yang disediakan.
Realitinya kursus dalam perkhidmatan awam dan kursus ketenteraan untuk anggota sukarela di Pusat Latihan Askar Wataniah (PUSWATAN) adalah berbeza. Kami bangun seawal jam 0500. Selepas solat Subuh, kami sudah pun berada di padang untuk mengikuti PT pagi selama sejam. Ada juga yang termuntah hijau. Dunia kelihatan berpusing-pusing setelah disuruh berguling dari tiang gol ke tiang gol. Bermula jam 0800, kami akan berada di dewan. Mengikuti pelajaran yang disampaikan oleh para jurulatih yang berkaliber.
Jika mengikuti latihan medan pula, kami akan berhujan dan berpanas. Mengali kubu sedalam 4 - 5 meter. Darah kami menjadi santapan pacat-pacat yang begitu rakus. Tidak kurang juga ada yang terpaksa menghadapi peristiwa-peristiwa mistik di hutan. Namun itu semua tidak mengentarkan hati kami. Segalanya dilalui dengan tabah sehingga berakhirnya kursus. Dan tanpa aku sedari, sudah 4 kursus telah berjaya dilalui. 1 di Rejimen 503 (Kursus Kadar - 2007) manakala 3 lagi di PUSWATAN (Kursus Bakal Pegawai - 2009, Ketua Platun - 2011 dan Senjata Bantuan - 2012).
Sebenarnya setiap anggota sukarela digalakkan menyertai kursus-kursus peningkatan yang dianjurkan di Puswatan. Ini perlu untuk melayakkan seseorang anggota tersebut dipakaikan pangkat mengikut tahap pengetahuan dan pengalaman mereka. Pemakaian pangkat kepada anggota bukannya boleh dibuat sesuka hati. Hanya yang benar-benar layak dan telah mengikuti kursus-kursus yang diperlukan sahaja yang akan dipakaikan pangkat. Pemakaian pangkat dalam angkatan sukarela merupakan suatu tradisi kemegahan. Tauliah untuk seseorang pegawai adalah tauliah "Yang Dipertuan Agong". Jadi sewajarnyalah kami berbangga kerana bukan semua orang memilikinya.
Selain itu, ada juga anggota-anggota yang mengikuti kursus untuk menimba dan menambah ilmu di dada. Ilmu dalam bidang ketenteraan berguna apabila berlaku sebarang konflik di mana anggota-anggota sukarelawan ini akan dikerah oleh negara. Pada masa ini, sekiranya anggota tidak memiliki ilmu peperangan sudah pasti anggota sukarela akan menjadi "papan target". Terkulai dimamah peluru musuh disebabkan kebodohan dan kejahilan sendiri.
P/S : Insyaallah jika semuanya berjalan lancar, pertengahan Mei ini aku akan mengikuti satu lagi kursus. Pelengkap 3 kursus yang ditetapkan untuk seorang Pegawai Muda (Pegawai baru). Mungkin ini adalah kursusku yang terakhir di Puswatan...
No comments:
Post a Comment