Kesedaran masyarakat sangat penting dalam menempuh tempoh PKPB bermula 4 Mei ini.
Bagi yang perlu keluar bekerja, patuhilah SOP yang telah digariskan. Kita sekarang sama ada suka atau tidak perlu mengamalkan normal-normal baharu. Tidak sama lagi keadaannya seperti sebelum PKP atau sebelum wabak Covid-19 melanda negara kita dan dunia secara amnya. Jaga jarak sosial masing-masing. Kami faham ramai yang menderita semasa tempoh PKP ini terutamanya mereka yang terjejas pendapatannya. Bagi yang menjalankan perniagaan. Berniagalah dengan ikhlas dan bertanggungjawab. Jangan sesuka hati menaikkan harga jualan. Kita sama-sama bantu-membantu dan memahami kesusahan orang lain. Berniaga perlukan keuntungan tetapi biarlah keuntungan itu mendapat keberkatan Allah.
Bagi yang belum boleh bekerja, keluarlah apabila perlu sahaja. Mulai 4 Mei, banyak premis perniagaan akan dibuka. Itu bukan bermakna kita sesuka hati untuk keluar beramai-ramai dan menyerbu ke premis-premis yang menawarkan pelbagai tawaran jualan murah atau apa-apa tawaran sekali pun. Syarat keluar berdua masing digunapakai. Jangan membawa keluar semua ahli keluarga. Keluar berdua pun sebenarnya bukan suatu yang mutlak. Keluar berdua pun apabila perlu. Jika boleh diselesaikan secara bersendirian, lebih baik keluar berseorangan. Selain itu, SOP-SOP lain seperti beratur masih ada. Malah bilangan pelanggan yang berada dalam premis-premis perniagaan perlu terus digunakan.
Kita perlu ingat bahawa covid-19 adalah bencana di seluruh dunia. Bukan ekonomi kita sahaja yang terkesan tetapi melibatkan juga negara-negara lain. Berjimatlah dan berbelanjalah secara berpada-pada. Beli barangan yang perlu sahaja. Buat simpanan kerana kita tidak tahu apa yang terjadi pada masa hadapan. Mungkin suatu masa nanti harga barangan akan meningkat kerana penawaran barangan yang semakin menguncup. Malah inflasi juga boleh terjadi. Semuanya tidak mustahil dalam keadaan sekarang.
Baca dan ambil tahu sedikit tentang apa yang berlaku dalam sejarah dunia. Dunia akan mengalami perubahan setiap setiap 100 tahun. Tidak salah pun kan... Sekurang-kurangnya kita boleh mengambil ikhtibar dan langkah berjaga-jaga buat diri kita, keluarga dan masyarakat.
Ingatlah, kerajaan memberikan kita kelonggaran bersyarat (PKPB) untuk menjadikan kita semua warga yang berdisiplin. Mungkin ini juga adalah ujian buat kita sama ada kita mampu mengamalkan normal-normal baharu sekiranya PKP ditamatkan secara total. Gunakanlah peluang ini dengan bijak. Elakkan menjadi seperti monyet yang baru terlepas daripada sangkar. Covid-19 masih ada dan kita belum benar-benar selamat daripada ancamannya.
#stayathome
#kitajagakita
#kitamestimenang
No comments:
Post a Comment