Perkhemahan KoKo Sk. Tasik Damai
15 - 17 Julai 2011
Masa zaman persekolahan dahulu, cikgu-cikgu sekolah "aku" kerap mengadakan aktiviti perkhemahan. Pada masa itu, segalanya dilakukan sendiri. Maklumlah zaman itu perkhidmatan katering tidaklah sepopular sekarang. Lauk yang paling popular dan mudah disediakan ialah ikan sardin tin. Walau pun kelihatan tidaklah beberapa menarik tetapi itulah hidangan yang paling menyelerakan. Apabila sudah berkumpul ramai, benda yang tidak sedap pun habis ditelan.
Perkhemahan zaman "aku" dahulu banyak diadakan diluar kawasan sekolah. Tinggal berhampiran dengan pantai memudahkan guru-guruku untuk mencari lokasi-lokasi yang sesuai dan menarik. Penekanan paling penting ialah kawasan tersebut mestilah mempunyai bekalan air bersih dan mudah untuk mendapatkan bantuan sekiranya berlaku perkara-perkara yang tidak diingini.
Untuk ke sesuatu kawasan, biasanya kami akan berbasikal beramai-ramai. Basikal pula bukanlah daripada jenis "MTB" atau pun "racing". Sekadar basikal "tua" dan barang-barang perkhemahan diletakkan di tempat belakang. Walau pun begitu, kami merasa sungguh bersemangat. Malam terakhir guru-guru akan mengadakan unggun api. Kayu-kayu kami kutip daripada kawasan persekitaran. Pada malam itu selain diadakan persembahan, acara permainan turut diadakan.
Kini, murid-murid menjalankan aktiviti perkhemahan hanya di kawasan sekolah (terutamanya murid sekolah rendah). Guru-guru pun sebenarnya ingin mengelakkan sebarang risiko yang tidak terduga. Semoga pengalaman dapat diperolehi oleh murid-murid kerana pengalaman tidak boleh dibeli melainkan kita merasai sendiri akan kesusahan dan keperitannya.
P/S : Anakku juga turut terlibat dalam perkhemahan di sekolahnya. Dari pukul 1 petang hingga ke pukul 9 dia tidur. Mungkin kepenatan yang amat sangat. Malam ini kulihat macam orang nak demam. Agak-agaknya demam urat le tu...



No comments:
Post a Comment