06 August 2011

Kembara Ramadhan...



Sabtu, 6 Ramadhan 1432H,
Hari cuti bagi kebanyakan pekerja-pekerja sektor awam di Malaysia. Aku juga tidak terkecuali. Sambil menunggu masuknya waktu Subuh, aku mencuba untuk menari-narikan jejariku di atas "keyboard". Cuba untuk melontarkan apa-apa sahaja idea yang terdapat di dalam benakku. Jika dibiarkan terlalu lama, dibimbangi otakku ini akan semakin tumpul dan kurang kritisnya nanti.

Gambar masjid di atas diambil pada hari Jumaat sekitar jam 1730H. Cuaca yang cerah menjadikan panoramanya sangat menarik untuk dirakamkan oleh kamera murahku. Matlamatku sepanjang Ramadhan ini ialah ingin mengumpulkan gambar-gambar masjid yang terdapat di kawasan sekitarku. Sebagai suatu koleksi simpanan peribadi yang boleh kutatap pada bila-bila masa.

Untuk kembara yang lebih jauh lagi rasanya aku belum mampu. Tetapi hajat dan keinginanku tetap ada untuk melihat keindahan bumi tuhan ini. Lebih-lebih lagi untuk menyaksikan dan berada di tanah yang pernah dipijak oleh Rasul-rasul Allah. Melihat bukti-bukti betapa tabahnya mereka dalam menegakkan syiar Allah di muka bumi ini.

P/S : Rakan-rakan fotografer ada menyuarakan hasrat mereka untuk ke Kuala Kangsar pada pagi ini. Tempat yang bakal menjadi sasaran lensa yang utama, sudah pastilah Masjid Ubudiah. Aku? Masih tiada sebarang perancangan sehingga tika dan detik ini. Tunggulah sehingga segala urusanku dapat diselesaikan dahulu...

2 comments:

ALINA ZAINI said...

Di Bandar Tasik Puteri Rawang ada sebuah masjid yang sangat cantik. Ada juga rumah seorang kakak yang dah lama sangat menunggu kehadiran adiknya bersama keluarga. Bila nak sampai tu?

Pijul said...

Hihihi...powernya ayat, Kak. Tak berani nak berjanji tp Insyaallah, suatu hari nanti akan tiba jua bila diizinkan Tuhan...
(Penulis terus berlari ke bilik air sambil menekup muka dgn kedua2 belah tangan kerana malu yg tersangat2 setlh diajukan soalan sebegini...)

Siapa Anda???

SALAM PERKENALAN - SALAM PERSAHABATAN

Berasal dari Endau, Johor Darul Takzim . Merantau ke Perak pada bulan Disember 1994 , setelah mendapat tawaran untuk mengikuti kursus perguruan di Maktab Perguruan Ipoh (kini Institut Perguruan Guru Kampus Ipoh) . Telah pun berkeluarga dan mempunyai sepasang cahaya mata .

Blog ini berjaya dijelmakan pada 20 November 2007 tepat jam 0930 semasa "aku" berkursus ICT di SK Dato Panglima Kinta , Ipoh, Perak . Bertepatan dengan tajuk yang diajarkan "aku" mengambil peluang untuk merealisasikan blog peribadi sendiri .

Hanya pada 17 April 2011 , aku membuat perubahan pada "URL"nya . "URL" lama telah digantikan kepada pijul09 . blogspot . com . Imej dan isi kandungannya tetap sama .

Blog ini diumpamakan sebuah diari . Di sini "aku" dapat bercerita tentang aktiviti seharian disamping mengutarakan pendapat serta pandanganku .

Semoga tiada sesiapa yang mempersoalkan isi kandungan blog ini dan menerima seadanya . Walau bagaimana pun segala sokongan dan teguran yang membina daripada rakan-rakan sangatlah diharapkan agar blog ini menjadi semakin mantap dari sehari ke sehari .

Terima kasih daun keladi kerana sudi menjengah ke "suatu sudut kecil" yang tidak seberapa ini . Hanya ALLAH yang mampu membalas budi baik tuan-tuan dan puan-puan sekalian...

Wassalam ... Adios ... Amigos ...

Pijul,
Ipoh , Perak .