Ramadhan masuk hari yang ke-2. Bermakna hari yang ke-2 juga kita bangun untuk bersahur. Suatu aktiviti yang membezakan puasa orang-orang Islam dengan penganut agama-agama lain.
Awal pagi ini, ku lihat anak-anakku agak "liat" (susah) untuk bangun daripada tidur. Mungkin ibadat puasa yag dijalankan pada hari pertama, kelmarin telah mendatangkan rasa keletihan kepada mereka.
Cuaca pada hari pertama Ramadhan terasa agak membahang. Semasa kunjunganku ke pasar Ramadhan di Taman Klebang Jaya, kurasakan gerai yang paling laris merupakan gerai yang menjual air-air minuman. Pelanggan terpaksa bersabar menunggu giliran mereka saat pesanan telah dibuat.
Aku membeli secara sederhana sahaja, bimbang jika berlebihan akan membawa kepada pembaziran. Untuk anak-anakku ku tetapkan syarat setiap seorang hanya dibenarkan membeli 1 makanan dan 1 minuman. Kelihatannya agak "kedekut" tetapi semuanya sebagai suatu latihan agar mereka bersikap sederhana dalam setiap apa urusan sekali pun.
Aku cuba menjadikan Ramadhan kali ini merupakan Ramadhan yang terbaik daripada sebelumnya. Bimbang juga jika ini Ramadhan yang terakhir untukku. Banyak bekalan dan amalan yang belum sempat diperbuat kerana manusia ini sibuk mengejar dunia yang cuma sementara.
P/S : Anak bongsuku mula berpuasa penuh pada kali ini. Berbeza jika dibandingkan dengan abangnya yang mula menjalani ibadah puasa seawal umur 5 tahun. Kini dia sudah menghampiri 11 tahun. Betapa cepatnya masa berlalu...
No comments:
Post a Comment