Ramadhan tiba lagi. Bersyukur tidak terhingga kerana dapat lagi aku bertemu dengan Ramadhan untuk tahun ini. Bulan yang penuh barakah, di dalamnya terkandung limpah rahmat dan keampunan daripada Allah SWT. Tuhan pencipta sekalian alam dan makhluk.
Semalam (Ahad) merupakan hari terakhir dalam bulan Syaaban. Setelah bersarapan di sebuah warung sup, kami sekeluarga terus ke sebuah pasaraya yang terdapat di bandaraya Ipoh ini.
Keadaan di pasaraya tersebut agak padat dengan kedatangan pelanggan yang ingin membeli pelbagai jenis barangan. Kemungkinan juga merupakan sebahagian daripada persiapan awal untuk menyambut ketibaannya Ramadhan.
Di bahagian ayam-ayam segar kelihatan seorang lelaki membeli ayam dalam kuantiti yang cukup banyak. Pada tanggapanku dia merupakan seorang peniaga yang mengambil kesempatan dengan kedatangan Ramadhan untuk menjual juadah berbuka puasa. Banyaklah juga hingga untuk dia sahaja segala urusan menimbang dan memotong mengambil masa selama 15 hingga ke-20 minit.
Selepas selesai urusan di pasaraya tersebut, kami bergerak pula ke sebuah restoran untuk menikmati juadah tengah hari. Restoran ini terletak berdekatan dengan Stadium Perak dan agak popular namanya di sekitar Ipoh.
Sama juga keadaannya kerana ramai pelanggan di restoran tersebut. Masing-masing ingin menikmati hidangan makanan tengah hari yang telah disediakan oleh pihak restoran tersebut. Hinggakan tempat dan meja penuh dan kami terpaksa menunggu giliran pula.
Begitulah senarionya pada hari terakhir bulan Syaaban sebelum menjelangnya Ramadhan. Semoga dengan kehadiran Ramadhan kali ini mampu menjadikan aku insan yang lebih bertakwa dan beriman kepada-NYA. Aku juga mengharapkan agar Ramadhanku pada kali ini lebih baik daripada tahun-tahun sebelumnya.
No comments:
Post a Comment