Sesi Persekolahan 2011 telah pun berakhir semalam. Program terakhir yang disempurnakan ialah Hari Anugerah Gemilang Akademik. Program bermula pada jam 0800 dan berakhir sekitar jam 1210. Tujuan program ini ialah untuk memberikan penghargaan kepada murid. Usaha dan kerja keras mereka sepanjang tahun ini dibalas dengan kejayaan yang diikhtiraf oleh pihak sekolah.
Ibubapa sudah pasti tumpang gembira melihat kejayaan anak-anak mereka. Sudah pasti yang paling gembira ialah ibubapa bagi murid Tahun 6 yang berjaya memperolehi keputusan 5A dalam peperiksaan UPSR. Sekolahku masih mengekalkan prestasinya. Seramai 31 orang murid telah berjaya memenuhi impian dan matlamat mereka.
Perjuangan lebih getir akan mereka hadapi di alam persekolahan peringkat menengah pula. Jika tersilap haluan sudah pasti ada yang akan tergelincir. Menghadapi alam awal remaja pada zaman ini bukanlah sesuatu yang mudah. Pelbagai ranjau, onak dan duri yang terpaksa dihadapi dalam usaha untuk meniti ke puncak. Semoga anak-anak muridku ini sentiasa mendapat petunjuk dan perlindungan Ilahi.
Bagi murid-murid Tahun 1 hingga 5 pula, inilah masanya untuk melepaskan lelah setelah setahun bergelumang dengan buku-buku (mungkin bukan semua yang bersikap demikian). Cuti selama sebulan lebih ini diharapkan dapat diisi dengan aktiviti-aktiviti yang berfaedah. Kita tidak mahu murid-murid ini hidup seperti "ular sawa" yang hanya tahu makan dan tidur sahaja.
Sekurang-kurangnya murid-murid ini perlu diperlengkapkan dengan aktiviti-aktiviti keagamaan (murid yang beragama Islam) agar asas keimanan dan ketakwaan mereka kepada "Yang Maha Esa" menjadi lebih mantap. Kita tidak mahu generasi yang ada mengabaikan agama mereka dalam kehidupan seharian. Islam bukan sekadar di dalam sijil kelahiran atau kad pengenalan sahaja. Islam mencakupi seluruh kehidupan kita, rosak asasnya bermakna generasi muda ini bakal menghadapi gejala moral yang teruk pada masa yang akan datang.
Murid-murid Tahun 5 yang bakal ke Tahun 6 pada Sesi Persekolahan 2012 seharusnya mempersiapkan diri. Buku jangan ditinggalkan terus. Sesi ulangkaji perlu dilakukan setiap hari. Peruntukan masa selama 1 - 2 jam sehari sudah memadai agar ilmu yang dipelajari tidak tersia-sia begitu sahaja. 2012 bakal menyaksikan mereka pula turun ke medan perjuangan. Persiapan adalah perlu untuk menghadapi cabaran getir ini. Semoga tiada yang mengalirkan air mata saat keputusan UPSR diumumkan walhal mereka langsung tidak berusaha untuk mendapatkan yang terbaik.
P/S : Anak sulungku merupakan salah seorang daripada mereka yang akan menghadapi UPSR 2012. Kejayaanya bererti kejayaan kami sekeluarga. Hatiku seringkali berbisik untuk melihat anak sendiri berada di pentas kejayaan. Hingga ke saat ini "aku" hanya mampu menumpang kegembiraan orang lain. Insyaallah mungkin di saat yang lain suatu hari nanti...
No comments:
Post a Comment