20 November 2011

Pejam-Celik Sudah Genap 4 Tahun...



20 November 2007 adalah tarikh dimana blog ini mula diwujudkan . URL yang digunakan pada masa itu ialah 9w2dtl.blogspot.com, nama yang aku ilhamkan daripada "callsign"ku dalam bidang radio amatur . Pada peringkat awalnya , blog ini telah tersadai beberapa bulan . Hinggakan aku hampir melupai kewujudannya . Hanya menjelang Februari 2008 , blog ini mula kuaktifkan kembali . 

Kerancakkan aku menulis pada ketika itu seiring dengan kerancakkanku berbual (QSO) di gelombang udara . Mungkin disebabkan banyak perkara yang boleh dikongsi membuatkan blog ini semakin aktif dari sehari ke sehari . Selain QSO, aktiviti-aktiviti lain yang dianjurkan oleh rakan-rakan radio amatur turut kuhadiri . Aktiviti TT dan "eyeball" merupakan perkara biasa pada ketika itu . Sehari tidak muncul di gelombang udara , membuatkan aku berkeadaan seperti seorang tua yang baru kematian isteri . Segala menjadi serba tidak kena seandainya tanganku tidak memeggang "PTT" .

URL ini kemudiannya aku tukar kepada pijul09.blogspot.com pada 17 April 2011 . Sebab penukaran URL ini telah pun aku jelaskan dalam "posting" terdahulu . Kini usia blog ini telah pun genap 4 tahun . Aku masih terus menulis di sini kerana hanya disinilah ruang yang aku ada untuk mengutarakan pendapatku . Segala yang ada dalam otak, aku terjemahkannya di sini . Begitu juga jika ada yang terbuku di dalam hati , akan kugarap sebaik mungkin agar segala kekecewaanku dapat kuluahkan .

Kewujudan Facebook (fb) sedikit sebanyak telah menyaingi peranan yang dimainkan oleh blog selama ini . Ramai juga blogger yang beralih-arah . Ada di antara blog-blog yang menjadi kusam kerana tiada "posting-posting" terkini . Masing-masing sibuk dan leka mencari kenalan di FB . Aku turut membuka akaun fb sendiri , itu pun setelah fb bertapak agak lama . Rasanya aku bermula pada pertengahan tahun 2008 . Namun begitu penulisan-penulisanku dalam blog ini tetap aku teruskan seperti biasa cuma agak perlahan jika dibandingkan dengan sebelumnya .

Insyaallah , blog ini akan kujaga sebaik mungkin . Kematangannya diharapkan selari dengan kematanganku berfikir . Biarlah blog ini berterusan sehingga ke akhir hayatku . Sekurang-kurangnya blog ini boleh menjadi bukti bahawa aku pernah wujud di atas muka bumi ini dengan kehendak ALLAH SWT dengan pelbagai pengalaman yang telah kutempuhi .

P/S : Idea menulis datangnya daripada ALLAH . Atas sebab itulah , aku seringkali berdoa agar ALLAH membantuku setiap masa untuk menulis dengan lebih baik . Masih banyak perananku sebagai seorang Islam yang belum lagi ditunaikan . Hanya di sini sahajalah tempat di mana aku dapat dan mampu melakukannya .

No comments:

Siapa Anda???

SALAM PERKENALAN - SALAM PERSAHABATAN

Berasal dari Endau, Johor Darul Takzim . Merantau ke Perak pada bulan Disember 1994 , setelah mendapat tawaran untuk mengikuti kursus perguruan di Maktab Perguruan Ipoh (kini Institut Perguruan Guru Kampus Ipoh) . Telah pun berkeluarga dan mempunyai sepasang cahaya mata .

Blog ini berjaya dijelmakan pada 20 November 2007 tepat jam 0930 semasa "aku" berkursus ICT di SK Dato Panglima Kinta , Ipoh, Perak . Bertepatan dengan tajuk yang diajarkan "aku" mengambil peluang untuk merealisasikan blog peribadi sendiri .

Hanya pada 17 April 2011 , aku membuat perubahan pada "URL"nya . "URL" lama telah digantikan kepada pijul09 . blogspot . com . Imej dan isi kandungannya tetap sama .

Blog ini diumpamakan sebuah diari . Di sini "aku" dapat bercerita tentang aktiviti seharian disamping mengutarakan pendapat serta pandanganku .

Semoga tiada sesiapa yang mempersoalkan isi kandungan blog ini dan menerima seadanya . Walau bagaimana pun segala sokongan dan teguran yang membina daripada rakan-rakan sangatlah diharapkan agar blog ini menjadi semakin mantap dari sehari ke sehari .

Terima kasih daun keladi kerana sudi menjengah ke "suatu sudut kecil" yang tidak seberapa ini . Hanya ALLAH yang mampu membalas budi baik tuan-tuan dan puan-puan sekalian...

Wassalam ... Adios ... Amigos ...

Pijul,
Ipoh , Perak .