Akhirnya pada tanggal 17 Disember 2011, kami sekeluarga berangkat ke negeri "Pantai Timur" ini. Setelah beberapa kali pemergian ini tertangguh dan terhalang. Ketentuan ALLAH juga menyebabkan kami akhirnya berjaya menginjakkan kaki ke bumi bertuah ini.
Kami tiba sekitar jam 1600. Setelah berjaya mendapatkan "homestay" di Manir, kami bergerak ke pantai Batu Buruk. Dapatlah juga aku menikmati tiupan angin "Monsun Timur Laut". Angin monsunnya kencang hingga membuatkan badan kami seperti ditolak oleh seseorang. Suatu situasi yang tidak mungkin dinikmati di sebelah "Pantai Barat".
Ombaknya yang bergulung membuatkan aku mengingatkan anak-anakku bahawa percutian kali ini tidak akan ada sebarang aktiviti air terutamanya di gigi air laut. Sebelum berlaku sebarang perkara yang tidak diingini adalah lebih baik kita beringat terlebih dahulu. Walau bagaimana pun mereka tetap gembira. Mungkin kali pertama menikmati badai yang kencang menyentuh muka.
Kerinduanku terhadap kampung yang pernah kududuki dahulu juga terubat jua. Sempat aku singgah ke tempat-tempat yang menjadi memori di zaman kanak-kanakku. Seakan baru semalam segalanya berlalu. Banyak yang telah berubah. Rumah yang pernah kududuki dahulu kelihatan semakin usang. Barangkali sudah tiada sesiapa yang sudi menghuni rumah tersebut atau barangkali juga penghuninya pulang ke kampung sempena cuti sekolah akhir tahun ini.
Rumah, masjid, sekolah dan pantai seolah-olah mengembalikan semula memoriku. Disinilah aku mula-mula menimba ilmu. Mempelajari ABC semasa berada di alam sekolah TADIKA. Selama 2 tahun aku mengikuti TABIKA KEMAS. Gurunya bernama Kak Ani. Bercermin mata dengan bentuk fizikal yang agak berisi. Entah berada di mana sekarang ini. Jika bertemu dengannya ingin aku mengucapkan ribuan terima kasih atas jasa-jasa beliau.
SK Merchang masih tersergam indah. Banyak bangunan-bangunan baru yang didirikan. Pokok jambu gajus, tempat kami berehat sambil menikmati makanan sudah tidak kelihatan lagi. Kawasannya telah dipenuhi dengan blok-blok bangunan. Menurut maklumat yang kuperolehi daripada pengawal keselamatan, jumlah muridnya lebih kurang 800 orang. Rasanya banyak kemajuan yang telah dicapai oleh sekolah rendahku ini.
Merchang kutinggalkan pada petang itu dengan hati yang berat. 25 tahun berlalu dan inilah kali pertama aku dapat menjejakkan kakiku semula. Walau pun rinduku pada tanah bertuah ini tidak terubat sepenuhnya namun aku gembira kerana dapat menikmati panoramanya. Rintik-rintik hujan yang turun tidak menghalangku untuk merakam segalanya melalui lensa DSLRku. Jauh di sudut hati, aku teringin untuk datang menjenguk kembali. Tetapi biarlah pada masa cuaca yang baik. Agar segala keindahan perkampungan ini dapatku memorikan sesempurna mungkin.
Selainnya aku membawakan anak-anakku melawat ke tempat-tempat menarik seperti Muzium Negeri Terengganu dan Taman Kebudayaan Islam di Losong. Sudah pasti buah tangan yang dibeli ialah keropok lekor. Khabarnya ada sebuah kedai yang menjual keropok lekor yang lebih enak daripada di Losong iaitu di sekitar kawasan Seberang Takir. Tetapi kami tidak sempat untuk mencarinya, mungkin di lain waktu sekiranya masih diizinkan Tuhan.
2200, 19 Disember 2011, kami selamat tiba di Ipoh.
P/S : Terkilan rasanya kerana tidak dapat bertemu dengan rakan-rakan SK Merchang. Mungkin mereka terlalu sibuk dengan agenda masing-masing. Tak apalah, Insyaallah jika diizinkan ALLAH di lain kesempatan pula...







No comments:
Post a Comment