8 Disember 1941, 0135H...
Keheningan suasana di Pantai Sabak dikejutkan dengan bunyi tembakan dan letupan bom. Jeritan kedengaran di sana-sini. Pantai Sabak menjadi saksi kehadiran penjajah baru di Tanah Melayu. Tentera Jepun yang bersemangat menyerbu ke garisan pertahanan British. Keadaan menjadi hingar-bingar bercampur di antara suara manusia dan alatan-alatan perang. Ramai yang terkorban di kedua-dua belah pihak. Peperangan bagi membuktikan siapa yang berkuasa dan dapat memerintah Tanah Melayu secara mutlak.
Angkatan Tentera Darat Ke-25 di bawah pimpinan Jeneral Yamashita telah memulakan pendaratan pada jam 0135. Waktu ini bila diselaraskan menunjukkan Tanah Melayu sejam lebih awal diserang jika dibandingkan dengan serangan ke atas Pearl Harbour di Hawaii. Amerika Syarikat bagaimana pun mendakwa bahawa Perang Pasifik meletus apabila pelabuhan tersebut diserang. Itulah cara Amerika Syarikat untuk memulakan penglibatan mereka dalam sesuatu konflik. Sama juga seperti apa yang berlaku sekarang di Afganistan dan Iraq.
Keadaan ombak dan angin yang kencang dalam musim tengkujuh tidak menghalang semangat tentera Jepun untuk memulakan pendaratan. Beberapa buah bot terbalik dan ada di antara tentera-tentera Jepun yang mati lemas sebelum sempat melepaskan tembakan pertama mereka. Kumpulan pertama ini menuju ke pantai dengan 20 buah bot. Kumpulan inilah yang kemudiannya memberikan isyarat pertama ke arah kapal-kapal pengangkut seperti Awaji-San Maru, Ayato-San Maru dan Sakura Maru untuk pendaratan kumpulan-kumpulan seterusnya.
Tentera Darat Divisyen Ke-18 pimpinan Mejar Jeneral Takumi mendapat tentangan sengit daripada tentera-tentera British yang berada di tepi pantai. Tentera-tentera daripada Briged Ke-19 Tentera Darat India di bawah pimpinan Brigedier Jeneral B.W. Kay telah berjaya memperlahankan pergerakan tentera Jepun yang ternyata menghadapi kesukaran pada peringkat awal. Jepun bukan sahaja menghadapi tentera British tetapi dalam masa yang sama terpaksa menghadapi keadaan iklim yang berpunca daripada tiupan angin Monsun Timur Laut yang membawa hujan lebat dan angin kencang di kawasan-kawasan Pantai Timur Semenanjung Tanah Melayu. Monsun yang bermula daripada bulan Oktober hingga Mac setiap tahun.
Tentera-tentera Jepun yang sempat mendarat telah mengasak mengakibatkan Briged Ke-8 tentera India yang sedang mempertahankan pantai terpaksa berundur dan meninggalkan garisan masing-masing. Keadaan kucar-kacir ini dipergunakan sepenuhnya oleh pihak Jepun untuk meneruskan kemaraan di samping pada masa yang sama juga, mereka telah berjaya mendaratkan peralatan-peralatan perang yang besar. Lapangan Terbang Kota Bahru telah berjaya ditawan sepenuhnya pada sebelah malam. Kota Bahru pula berjaya ditawan pada keesokannya harinya. Manakala tentera British terus berundur ke selatan bagi menyusun semula kekuatan mereka.
Maka bermulah "KEMPEN MALAYA" oleh pihak Jepun. Suatu kempen serangan ke atas Semenanjung Tanah Melayu dan Singapura yang pada masa itu dikuasai oleh British. Jepun sangat memerlukan Semenanjung Tanah Melayu yang kaya dengan hasil bumi. Manakala penawanan Singapura yang merupakan pusat pentadbiran British di Timur Jauh penting sebagai suatu simbol kegagahan Imperial Jepun dalam melaksanakan kempen "Asia Untuk Orang Asia'.
P/S : Tahun 1941, Jepun telah berjaya mecipta kapal terbang, kapal perang dan peralatan ketenteraan mereka sendiri. Bangsa kita pada masa itu masih lagi dijajah. Masih lagi bertuankan "Orang Putih". Tidak berani melakukan perubahan. Kita diperlemahkan minda dan corak berfikir oleh "Orang-orang Putih" agar mereka dapat terus mengaut kekayaan hasil bumi kita...
Sumber :
Wan Hashim Wan Teh (1993), Perang Dunia Kedua - Peranan Askar Melayu, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur.
Syed Othman Syed Omar (2005), Rejimen Askar Melayu Diraja 1993-1968, Penerbit Universiti Malaya, Kuala Lumpur.
Wan Hashim Wan Teh (1993), Perang Dunia Kedua - Peranan Askar Melayu, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur.
Syed Othman Syed Omar (2005), Rejimen Askar Melayu Diraja 1993-1968, Penerbit Universiti Malaya, Kuala Lumpur.
No comments:
Post a Comment