03 April 2012

Kita Jadi Orang Lain???



Ada seorang lelaki yang bekerja sebagai pemecah batu di sebuah kaki bukit berhampiran kampungnya. Pekerjaan tersebut telah dilakukannya sejak dia berusia belasan tahun lagi. Kini sudah hampir 25 tahun dia bekerja dalam bidang tersebut.

Setiap hari dia akan memecahkan batu-batu di bukit itu. Selain dirinya terdapat berpuluh lagi tenaga kerja sepertinya. Mereka bekerja dengan tekun demi mendapatkan rezeki yang halal. Rezeki yang akan digunakan untuk menyara kehidupan isteri dan anak-anak mereka. 

Kemudian batu-batu ini akan diangkut pula oleh pekerja lain ke sebuah tempat (bolehlah dikatakan sebagai kilang) untuk dijadikan barang-barang pembinaan. Zaman tersebut penggunaan jentera dan mesin masih lagi kurang meluas. Hanya tenaga daripada tulang 4 kerat yang menjadi taruhan agar setiap kerja dapat dilaksanakan dengan baik.

Pada suatu hari takkala dia sedang berehat, dia terpandang ke langit. Dilihatnya matahari memancarkan cahayanya meliputi seluruh alam. Cahayanya yang terik sudah cukup untuk mengerunkan manusia. Jika ia hampir sudah tentu badan manusia akan terbakar hangus.

Si Pemecah Batu itu terfikir dibenaknya, "Alangkah baiknya jika aku dapat menjadi matahari. Mampu memancarkan cahaya menyinari alam. Mampu juga menghangatkan tubuh manusia. Hebatnya..." Si Pemecah Batu mengomel sendirian.

Tiba-tiba dia terasa angin bertiup kencang menampar ke pipinya. Hembusan angin menyedarkannya daripada lamunan. Dia merasakan kedinginan. Dilihatnya matahari telah pun dilindungi awan. Cahayanya kini terhalang daripada sampai menerjah ke bumi.

"Hebatnya awan, matahari yang sebegitu gagah pun dapat ditumpaskannya. Kalaulah aku manjadi seperti awan itu alangkah hebatnya diriku ini. Manusia sudah pasti akan kagum dengan kemampuan diriku." Sekali lagi Si Pemecah Batu itu menyuarakan keinginannya.

Dia terus memandang ke arah awan yang sedang ditiup angin itu. Awan itu bergerak ke arah sebuah bukit. Terpecah dua apabila melalui kawasan bukit. Awan yang tadinya gagah, sekarang telah berpecah-pecah. Kian lama kian hilang daripada pandangan mata.

Si Pemecah Batu memerhatikan kejadian itu. Keinginannya untuk menjadi seperti awan terus pudar. Dia melihat ke arah bukit. Mula-mula ke arah kawsan puncak dan terus ke kaki bukit. Di kaki bukit dia memerhatikan batu-batunya telah hancur berderai. Bukit yang sebegitu gagah pun dapat dihancurkan oleh manusia.

Barulah dia menyedari bahawa selama bertahun-tahun bukit itu dihancurkan olehnya. "Hebat rupa-rupanya aku. Hanya dengan berbekalkan kekuatan dan pengalaman aku mampu menghancurkan batu-batu ini." Si Pemecah Batu melahirka rasa kekagumannya.

"Tetapi tanpa kuasa ALLAH, aku tidak akan mampu melaksanakannya. Hasil pekerjaaan inilah yang telah menyara kehidupan kami anak-beranak." Dia menambah lagi.

Tanpa disedari, air matanya berlinang apabila mengenangkan hebatnya dia sebagai seorang manusia di bumi ini...

P/S : Jadilah diri kita sendiri. Kehebatan orang laian sewajarnya menjadi pendorong kepada kita untuk melakukan yang terbaik. Kita tidak mungkin menjadi orang lain kerana diri kita sememangnya hebat. Hanya kita sahaja yang tidak menyedari. Mungkin juga kita terlalu merendah diri...

No comments:

Siapa Anda???

SALAM PERKENALAN - SALAM PERSAHABATAN

Berasal dari Endau, Johor Darul Takzim . Merantau ke Perak pada bulan Disember 1994 , setelah mendapat tawaran untuk mengikuti kursus perguruan di Maktab Perguruan Ipoh (kini Institut Perguruan Guru Kampus Ipoh) . Telah pun berkeluarga dan mempunyai sepasang cahaya mata .

Blog ini berjaya dijelmakan pada 20 November 2007 tepat jam 0930 semasa "aku" berkursus ICT di SK Dato Panglima Kinta , Ipoh, Perak . Bertepatan dengan tajuk yang diajarkan "aku" mengambil peluang untuk merealisasikan blog peribadi sendiri .

Hanya pada 17 April 2011 , aku membuat perubahan pada "URL"nya . "URL" lama telah digantikan kepada pijul09 . blogspot . com . Imej dan isi kandungannya tetap sama .

Blog ini diumpamakan sebuah diari . Di sini "aku" dapat bercerita tentang aktiviti seharian disamping mengutarakan pendapat serta pandanganku .

Semoga tiada sesiapa yang mempersoalkan isi kandungan blog ini dan menerima seadanya . Walau bagaimana pun segala sokongan dan teguran yang membina daripada rakan-rakan sangatlah diharapkan agar blog ini menjadi semakin mantap dari sehari ke sehari .

Terima kasih daun keladi kerana sudi menjengah ke "suatu sudut kecil" yang tidak seberapa ini . Hanya ALLAH yang mampu membalas budi baik tuan-tuan dan puan-puan sekalian...

Wassalam ... Adios ... Amigos ...

Pijul,
Ipoh , Perak .