11 July 2012

Di manakah tahapnya?



Tanggal 11 Julai 2012, anak sulungku bakal menduduki Peperiksaan Percubaan UPSR. Kali ini anakku akan diuji sama ada dia berkeupayaan atau pun tidak untuk memperolehi keputusan yang memberangsangkan. Semoga dia tabah dan ampuh untuk melalui cabaran getir ini. Biar dia mengerti bahawa memikul amanah keluarga ini merupakan suatu tugas yang besar. Tugas yang perlu dilakukan dan disempurnakan sebaik-baiknya.

Peperiksaan ini sepatutnya diadakan pada hari Selasa, 10 Julai tetapi terpaksa ditangguhkan untuk memberi laluan kepada acara senamrobik peringkat kebangsaan. Maka bersenamrobiklah seluruh warga pendidikan melibatkan guru serta murid.  Sekurang-kurangnya redalah seketika tekanan yang dialami oleh murid-murid Tahun 6 sekolahku. Setelah reda tekanan mereka bakal menghadapi kertas-kertas soalan pada keesokan harinya. Cabaran getir pasti akan dihadapi. Berjaya atau tidak terserah kepada persediaan masing-masing.

Keputusan yang akan diperolehi kelak akan menjadi panduan kepada guru-guru agar prestasi yang lebih baik dapat diperolehi dalam peperiksaan sebenar pada 11 September kelak. Jika mengikut perkiraan pada hari ini, murid-murid hanya memiliki 62 hari lagi. Sudah pasti usaha perlu digandakan dalam jangka masa yang sesingkat ini. Bagi yang sentiasa berusaha sejak dari awal tidaklah menjadi masalah. Mereka hanya perlu istiqamah. Doa perlu dipanjatkan kepada ALLAH agar kejayan dapat digapai.

P/S : Semoga anak sulungku Amirul Aiman dapat menjawab soalan dengan baik. Keputusan yang baik akan meredakan sedikit perasaan risau dan bimbang yang kami alami ini....

No comments:

Siapa Anda???

SALAM PERKENALAN - SALAM PERSAHABATAN

Berasal dari Endau, Johor Darul Takzim . Merantau ke Perak pada bulan Disember 1994 , setelah mendapat tawaran untuk mengikuti kursus perguruan di Maktab Perguruan Ipoh (kini Institut Perguruan Guru Kampus Ipoh) . Telah pun berkeluarga dan mempunyai sepasang cahaya mata .

Blog ini berjaya dijelmakan pada 20 November 2007 tepat jam 0930 semasa "aku" berkursus ICT di SK Dato Panglima Kinta , Ipoh, Perak . Bertepatan dengan tajuk yang diajarkan "aku" mengambil peluang untuk merealisasikan blog peribadi sendiri .

Hanya pada 17 April 2011 , aku membuat perubahan pada "URL"nya . "URL" lama telah digantikan kepada pijul09 . blogspot . com . Imej dan isi kandungannya tetap sama .

Blog ini diumpamakan sebuah diari . Di sini "aku" dapat bercerita tentang aktiviti seharian disamping mengutarakan pendapat serta pandanganku .

Semoga tiada sesiapa yang mempersoalkan isi kandungan blog ini dan menerima seadanya . Walau bagaimana pun segala sokongan dan teguran yang membina daripada rakan-rakan sangatlah diharapkan agar blog ini menjadi semakin mantap dari sehari ke sehari .

Terima kasih daun keladi kerana sudi menjengah ke "suatu sudut kecil" yang tidak seberapa ini . Hanya ALLAH yang mampu membalas budi baik tuan-tuan dan puan-puan sekalian...

Wassalam ... Adios ... Amigos ...

Pijul,
Ipoh , Perak .