Sumber : Sinar Harian | Rabu | 28 Nov 12
Kompang dan gendang telah pun dipalu menandakan saingan telah bermula. 8 negara dalam kelompok Asia Tenggara akan berentap bagi merebut Piala Suzuki AFF Edisi 2012. Seperti yang diketahui, Malaysia merupakan juara bertahan bagi edisi 2010. Selain itu, kita juga menjadi tuan rumah bersama dengan Thailand yang menjadi venue bagi Kumpulan A. Kita pula diletakkan dalam kumpulan B bersama-sama dengan Indonesia, Singapura dan Laos.
Perlawanan pertama menyaksikan pasukan negara kencundang 0 - 3 kepada pasukan Singapura. Suatu kekalahan yang tidak dijangkakan oleh peminat setia "Harimau Malaya" kerana kita mengharapkan sekurang-kurangnya dapat mengikat pasukan Singapura dengan keputusan seri. Kekalahan ini menyebabkan kita berhadapan dengan laluan sukar untuk melayakkan diri ke pusingan separuh akhir.
Sekiranya kita mengalami kekalahan kepada Laos pada perlawanan malam ini sudah pasti kita akan terkeluar dalam saingan Piala Suzuki AFF 2012 ini. Perlawanan terakhir menentang Indonesia hanya akan menjadi perlawanan pelengkap jadual. Mungkin juga perlawanan eksperimen untuk Rajagopal untuk kejohanan yang akan datang (sekiranya masinh menjadi jurulatih negara).
Para peminat "Harimau Malaya" mengharapkan kemenangan dapat dilakarkan pada malam ini. Kita tidak mahu melihat pasukan kesayangan kita ini diperbodoh dan diperlekehkan dengan kekalahan yang memalukan. Kita sangat mengharapkan agar pasukan negara mencapai kemenangan. Jika kalah pun biarlah secara terhormat. Usah terus dibuai kisah-kisah semalam yang telah menjadi sejarah. Eksperimen perlu dihentikan segera. Janganlah hendaknya kita dimalukan sebagai tuan rumah yang tidak memenangi sebarang perlawanan dalam edisi kali ini.
P/S : Ada pendapat mengatakan peminat tidak patriotik apabila berterusan mengutuk pasukan negara. Kutukan juga mampu menaikkan moral pemain. Mimpi-mimpi indah perlu ditamatkan agar para pemain kembali berada dalam realiti sebenar. Kita menegur kerana kita sayang kepada "Harimau Malaya".
No comments:
Post a Comment