Tahun baru Hijrah dicemari dengan keangkuhan rejim Israel untuk membedil Semenanjung Gaza. Ramai yang telah terkorban, tidak kurang juga yang mengalami kecederaan. Nasib umat Islam di sana belum terbela sepenuhnya. Hanya doa dan bantuan daripada kita yang mampu dihulurkan pada masa ini. Untuk mengangkat senjata dan berjuang bersama-sama mereka pun kita masih belum mampu. Banyak sekatan dan halangan akan dikenakan sekiranya ada yang ingin meneruskan niat suci ini. Tuduhan sebagai pengganas sudah pasti akan dilebelkan kepada para pejuang Islam walau pun segalanya dilakukan atas niat untuk membela nasib sesama Islam.
Jika dilihat kepada petikan akhbar Kosmo bertarikh 17 November 2012, warga Yahudi kelihatan bersemangat untuk menganyang umat Islam di Genting Gaza. Mereka yang kebanyakannya terdiri daripada anggota pasukan tentera simpanan telah mula melapor diri. Segala keselesaan dan kesenangan hidup bakal ditinggalkan. Nyawa dan darah orang-orang Islam di Gaza akan menjadi pemuas nafsu serakah mereka. Dianggarkan pasukan tentera Israel akan terus diperkuatkan sehingga kepada 30 ribu orang sukarelawan. Sudah pasti juga mereka akan dilengkapi dengan senjata-senjata dan peluru-peluru agar hasrat mereka tercapai.
Keadaan inilah yang membezakan antara kita dengan mereka. Di negara kita, warga muda begitu berat untuk mempelajari ilmu-ilmu peperangan dan persenjataan. Seruan untuk menyertai pasukan tentera simpanan dipandang sepi. Kita lebih sayangkan keselesaan dan kemewahan yang telah dikecapi. Sekiranya diajak, berbagai alasan yang akan diberikan. Malah ada yang berpendapat bahawa negara kita tidak akan terlibat dalam kancah peperangan dan akan selamanya aman. Tetapi bolehkah kita menjamin bahawa keamanan yang kita kecapi sekarang akan kekal. Mungkin akan ada yang berasa iri hati kepada kita. Konflik boleh dan akan berlaku suatu hari nanti. Banyak faktor yang boleh dijadikan alasan untuk mencetuskan ketegangan.
Ayuh anak-anak muda Islamku sekalian. Mendaftarlah dan jadilah seorang sukarelawan tentera. Belajarlah untuk mempersiapkan diri masing-masing. Bukannya kita "gila untuk berperang." Cuma segalanya sebagai persediaan. Bak kata pepatah, "sediakan payung sebelum hujan." Sesungguhnya kita tidak tahu apa yang akan terjadi pada hari muka.
P/S : Semoga umat Islam di Gaza dilindungi oleh ALLAH sepenuhnya dan para pejuang yang syahid di medan peperangan akan ditempatkan dikalangan mereka yang dirahmati ALLAH. Berdoalah wahai saudara seagamaku untuk keselamatan dan kesejahteraan mereka di sana.
No comments:
Post a Comment