Syawal... kedatangannya sesudah Ramadhan sangat-sangat dinantikan. Bahang sambutannya sudah mula dirasakan walau pun Ramadhan baru sahaja bermula. Di pasaraya dan gedung-gedung membeli-belah sudah kedengaran lagu-lagu raya dipasang sebagai satu tarikan untuk menarik minat pelanggan datang berkunjung. Menjelma sahaja fajar Syawal maka bermulalah pesta kemeriahannya selama sebulan. Ramadhan seolah-olah dilupakan peranannya. Hanya setahun yang akan datang, Ramadhan akan kembali diingati sebagai bulan untuk beribadah walau pun hanya pada 10 hari yang pertama.
Di sana-sini sepanjang Syawal akan kedengaran majlis-majlis rumah terbuka diadakan. Jemputan daripada adik-beradik, saudara-mara dan handai-taulan akan silih berganti. Setiap minggu sepanjang Syawal, jadual akan penuh dengan undangan. Kadangkala berlaku juga pertembungan. Oleh yang demikian perancangan untuk sesuatu majlis rumah terbuka adalah perlu.
Syawal seolah-olah menjadi medan untuk kita melepaskan nafsu yang terkunci sepanjang Ramadhan. Kita bagaikan melepaskan dendam kerana tidak dapat melahap daripada terbit fajar hingga terbenam matahari sepanjang sebulan berpuasa dibulan Ramadhan. Sebaik sahaja fajar Syawal menjelma, nafsu makan kita telah melonjak ke tahap yang maksima. Jentera di dalam perut akan diasak dengan pelbagai jenis juadah. Tidak hairanlah jika ada yang cirit-birit selepas 1 Syawal lantaran perut yang terkejut menerima kedatangan makanan yang beraneka jenis dan rasa.
Amalan mengadakan rumah terbuka bukanlah menjadi satu kesalahan atau menyalahi adat dan agama. Bukan pula menjadi perkara wajib yang mana semua orang perlu melakukannya. Sesiapa yang berkemampuan boleh mengadakannya. Amalan menjamu para tetamu juga termasuk dalam ibadat bersedekah. Kedatangan tetamu ke sesuatu majlis rumah terbuka akan dapat mengeratkan hubungan silahturahim sesama kita. Cuma penyediaan makanan biarlah dirancang dengan teliti agar tidak berlakunya pembaziran. Akhirnya yang kenyang hanyalah plastik-plastik dan tong-tong sampah. Di situlah destinasi terakhir makanan tersebut akibat lebihan yang berlaku.
Bagi mereka yang kurang berkemampuan untuk mengadakan majlis rumah terbuka janganlah merasa kecil hati dan terhina. Kita masih boleh menjemput saudara-mara dan rakan-rakan ke rumah kita. Janganlah memaksa diri untuk menyediakan aneka jenis juadah. Sediakanlah sekadar yang termampu sahaja. Jika tidak mampu untuk menjemput ramai tetamu sudah memadai kita memanggil jiran-jiran dan sahabat terdekat. Niatkan untuk bersedekah, InSyaAllah niat yang suci akan mendapat ganjaran di sisi-NYA.
Jadikanlah amalan mengadakan rumah terbuka ini sebagai suatu ibadah. Jaga batasan aurat dan pergaulan. Elakkan daripada mengadakan program-program yang mendatangkan fitnah dan maksiat seperti nyanyian karaoke di antara lelaki dan perempuan. Perlu ada batasannya agar majlis kita mendapat keredhaan Ilahi.
P/S : Sabtu ini terdapat 3 jemputan daripada rakan setugas. Terima kasih diucapkan kepada Cikgu Azmi, Cikgu Jahizah dan Cikgu Siti Hadejah. Serentak pula dan rumah mereka pun di kawasan yang sama. Kenalah mengatur jadual yang terbaik agar setiap jemputan dapat dipenuhi....
Published with Blogger-droid v2.0.10
No comments:
Post a Comment