(Gambar ehsan daripada "WhatsApp" Babah Zali...)
111213... Aku lihat ramai yang poskan tarikh ini terutamanya dalam "fb" mereka. Mereka kata tarikh ini unik. Unik kerana kita berpeluang berada pada tarikh sebegini dan jika ingin menjumpai tarikh sebegini mungkin pada 11 Disember 2113 kelak. Itu pun jika dikurniakan umur yang panjang. Unik juga kerana tarikh ini mengikut turutan nombor. Tahun mendatang pun kita tidak akan menjumpai tarikh berturutan seperti ini. Mana mungkin ada tarikh 121314. Kalau ada, pelik dan ajaib sangatlah rasanya.
Hari ini juga merupakan hari terakhir aku bertugas mengawasi peperiksaan luar negeri. Selepas ini bolehlah aku berehat untuk melepaskan lelah sebelum mesyuarat sekolah bermula. Mesyuarat rutin yang diadakan sebelum sesi persekolahan bagi tahun 2014 bermula. Mesyuarat yang akan menyebabkan ada guru menepuk dan mengaru kepala masing-masing. Barangkali terkejut dengan penjawatan yang diterima seperti mana yang termaktub dalam takwin bagi tahun 2014.
Aku pula sejak 8 hari yang lepas berulang-alik dari rumah ke kolej swasta ini. Peperiksaannya mengambil masa selama 3 jam. Bermula dengan waktu "Reading Time" selama 15 minit. Pada masa ini calon dibenarkan merangka jawapan tetapi hanya di dalam buku soalan sahaja. Selepas itu barulah waktu 3 jam diperuntukkan kepada calon untuk menjawab soalan. Ada yang berkerut-kerut dahi dan mukanya. Ada pula yang tersenyum riang bagaikan pengantin baru menghadapi saat-saat indah malam pertama. Soalan dijawabnya dengan penuh yakin. Gambaran dapat lulus dengan cemerlang untuk subjek tersebut menari-nari di dalam minda.
Situasi yang dapat diperhatikan setiap kali peperiksaan dijalankan adalah sama. Baik peperiksaan awam mahu pun peperiksaan luar negara. Semasa menjawab soalan, kita lihat calon-calon tidak dibenarkan membawa buku atau sebarang rujukan masuk ke dalam dewan peperiksaan. Mereka akan menjawab berdasarkan ilmu yang mereka ada. Jika mereka rajin mengulangkaji pelajaran sudah tentu mereka akan dapat memberikan jawapan yang terbaik. Persiapan sebelum menghadapi peperiksaan adalah penting. Daripada persiapan tersebutlah kita akan dapat memastikan bahawa kita dapat lulus dengan cemerlang atau sebaliknya. Jika ada yang meniru pula akan dikenakan tindakan yang tegas. Kertas jawapan.akan diambil dan calon tersebut akan diarahkan keluar daripada dewan peperiksaan. Selepas itu ketua pengawas pula dikehendaki menyediakan laporan tentang eksiden berkenaan. Pastinya tindakan tegas akan dikenakan kepada calon berkenaan. Tiada kompromi dalam hal-hal sebegini.
Begitulah penilaian di dunia berjalan. Kita bertungkus lumus untuk mendapatkan keputusan yang terbaik. Banyak perkara yang dikorbankan demi mencapai hasrat dan cita-cita. Apa yang berlaku di dunia adalah gambaran di akhirat.kelak. Pada masa itu, kita akan menghadapi peperiksaan yang lebih ampuh. Dewan peperiksaannya menghimpunkan seluruh manusia sejak zaman Nabi Adam sehinggalah manusia yang hidup sebelum "sangkakala pertama" ditiupkan. Malah semasa di alam kubur pun kita akan ditanya akan bekalan yang kita bawa sepanjang kita hidup di dunia. Jika banyak bekalan amalnya maka bahagialah kehidupannya. Jika tidak... maka kesengsaraanlah yang akan dihadapi sebelum dibangkitkan semula.
Atas sebab itulah, kita sebagai umat Islam digalakkan agar mencari kebahagiaan di dunia dan di akhirat. Sengsara di dunia tidak semestinya sengsara di akhirat. Bahagia di dunia tidak semestinya pula bahagia di akhirat. Seimbangkanlah antara dunia dan akhirat agar kelak kita tidak termasuk ke dalam kelompok manusia yang rugi.
P/S : Hidup di dunia hanya sementara. Mungkin kita hidup hanya dalam lingkungan puluhan tahun sahaja. Kehidupan di dalam alam kubur pula mengambil masa sehingga ribuan tahun selagi dunia belum kiamat. Apakah kita masih menganggap bahawa kehidupan di dunia ini kekal dan abadi? Maut mungkin datang sesaat...mungkin sejam...mungkin sehari atau mungkin sebulan lagi. Tugas kita ialah beramal dengan sebanyak-banyaknya. Raihlah pahala akan neraca kita berat ke arah kebaikan. Bekalan ampuh perlu dicari untuk dibawa ke sana....
Published with Blogger-droid v2.0.10




No comments:
Post a Comment