20 December 2013

Rezeki Ini Milik ALLAH....




Syukur kerana dengan izin-NYA, aku sekeluarga kini telah pun selamat kembali ke Ipoh. Kami bermusafir sejak Jumaat yang lepas. Mengambil peluang sempena cuti persekolahan akhir tahun yang telah pun memasuki fasa pertengahan, aku pulang ke kampung halaman. Tujuannya ialah untuk menziarahi ibuanda dan ayahanda tercinta. Begitulah rutin seorang anak selagi mereka masih bernyawa. Wang, jarak dan masa bukanlah halangan untuk menatap wajah mereka. Berbual untuk melepaskan rasa rindu. Menjamu mata melihat keindahan kampung halaman yang telah lama ditinggalkan.

Sepanjang di kampung, tidak banyak aktiviti yang boleh dilakukan. Cuma pada hari Ahad, aku mengambil peluang mengajak kedua-dua ibubapaku ke Johor Bahru. Dengan jentera baru, tidak menjadi masalah untuk aku membawa ke semuanya. Seorang isteri, dua orang anakku, ibubapaku dan dua adikku. Perjalanan menjadi mudah. Tambahan pula pemanduan tidaklah menjadi bosan kerana sepanjang perjalanan kami boleh berbual-bual. Penumpang pula leka menjamu mata menyaksikan filem "Ustaz Mu Tunggu Aku Datang" yang menjadi santapan mata.

Sememangnya agak lama aku tidak ke Johor Bahru. Mungkin dalam 6 atau 7 tahun. Banyak perubahan yang berlaku. Jalan pun sudah bertingkat-tingkat. Silap-silap boleh tersesat jika mata terlalu leka menyaksikan pemandangan di kiri dan kanan jalanraya. Sebaik sahaja masuk ke Johor Baharu, kami terus menyusuri jalan untuk menyaksikan Selat Tebrau. Anak-anakku dapat melihat Tambak Johor dan negara Singapura dari jauh. Usai solat Asar di Masjid Abu Bakar, kami ke Danga Bay. Tiada apa yang boleh diperhatikan kerana Danga Bay dalam proses pengubahsuaian. Tambahan hujan pula turun menemani perjalanan kami pada petang itu.

Di Masjid Abu Bakar ini, aku teringat kembali akan cerita arwah datukku bahawa beliau pernah mengalunkan suaranya membaca ayat-ayat suci AL-Quran di situ. Pada masa itu beliau kerap menyertai pertandingan bacaan Al-Quran. Nostalgia itu menyentuh sanubariku seolah-olah baru semalam diceritakan kepadaku. Agak terkilan juga kerana aku tidak mengambil ilmu AL-Quran daripada datukku dengan bersungguh-sungguh. Darah remajaku pada masa itu hanya memikirkan keseronokan dunia semata-mata. Masa mengaji pun jenuh dipaksa. Kalau tidak didisiplinkan dengan masa sudah tentu sekarang ini, aku gagal untuk membaca Al-Quran.

Sepanjang ziarah satu hari ke Johor Baharu, sempatlah juga kami singgah di rumah ibu saudaraku di Taman Setulang Laut. Itu pun setelah berkali-kali dipelawa. Berbekalkan janji yang telah kubuat dengan Mak Yam setahun sebelum ini, akhirnya aku berjaya menunaikan janji tersebut. Sesungguhnya segala daya dan kudrat itu datangnya daripada ALLAH SWT. Kita manusia hanya pelakunya sahaja. Kami tiba di Endau sekitar jam 2 pagi. Isnin dan Selasa, aku mengambil peluang untuk berehat sahaja di rumah. Memulihkan tenaga kerana pada hari Rabu, kami akan berangkat pulang ke Ipoh semula.

Dibawah ini adalah data perjalanan pulangku ke Ipoh. Bergerak sekitar jam 1215 dan kami sampai di Ipoh sekitar jam 2030. Dua kali perhentian iaitu di Batang Kali dan RnR Tapah.

Data :
Jarak ~ 510KM.
Minyak sehala ~ RM90 (lebih kurang RM0.17 satu km)
Anggaran tempoh masa perjalanan ~ 9 jam.
Jentera ~ 1.6 CFE
Laluan :
Endau --> Tg Gemuk --> Rompin ---> Muazzam --> Kerayong --> Bandar Baru Bera --> Temerloh ---> via LPT --> via Karak highway --> Genting Sempah --> Genting Highland -->Batang Kali --> Kuala Kubu --> Tg Malim --> via PLUS highway --> Tapah --> Gopeng --> Simpang Pulai --> Ipoh --> Klebang Putra

Ada juga yang bertanya, "tak letih ke?" Bak kata orang muda-muda sekarang. "biasalah bro." Alah Bisa Tegal Biasa. Janji kita dapat membahagiakan hati kedua ibubapa kita sudah mencukupi. Penat... letih...belanja... tolak tepi dulu. Pemikiran perlu postif kerana  "Rezeki itu milik ALLAH...."

P/S : Pada kepulangan kali ini, aku berkesempatan untuk mengetahui sejarah keturunan keluarga sebelah bapaku. Maklumat tersebut sangat berguna untuk aku mengetahui peribadi dan jati diri sendiri. Walau pun maklumat yang diterima agak terhad tetapi telah memadai sebagai panduan. Rupa-rupanya ada dalam tiada dan tiada dalam ada. Indahnya kehidupan ciptaaan ALLAH....

No comments:

Siapa Anda???

SALAM PERKENALAN - SALAM PERSAHABATAN

Berasal dari Endau, Johor Darul Takzim . Merantau ke Perak pada bulan Disember 1994 , setelah mendapat tawaran untuk mengikuti kursus perguruan di Maktab Perguruan Ipoh (kini Institut Perguruan Guru Kampus Ipoh) . Telah pun berkeluarga dan mempunyai sepasang cahaya mata .

Blog ini berjaya dijelmakan pada 20 November 2007 tepat jam 0930 semasa "aku" berkursus ICT di SK Dato Panglima Kinta , Ipoh, Perak . Bertepatan dengan tajuk yang diajarkan "aku" mengambil peluang untuk merealisasikan blog peribadi sendiri .

Hanya pada 17 April 2011 , aku membuat perubahan pada "URL"nya . "URL" lama telah digantikan kepada pijul09 . blogspot . com . Imej dan isi kandungannya tetap sama .

Blog ini diumpamakan sebuah diari . Di sini "aku" dapat bercerita tentang aktiviti seharian disamping mengutarakan pendapat serta pandanganku .

Semoga tiada sesiapa yang mempersoalkan isi kandungan blog ini dan menerima seadanya . Walau bagaimana pun segala sokongan dan teguran yang membina daripada rakan-rakan sangatlah diharapkan agar blog ini menjadi semakin mantap dari sehari ke sehari .

Terima kasih daun keladi kerana sudi menjengah ke "suatu sudut kecil" yang tidak seberapa ini . Hanya ALLAH yang mampu membalas budi baik tuan-tuan dan puan-puan sekalian...

Wassalam ... Adios ... Amigos ...

Pijul,
Ipoh , Perak .