Rezeki ini milik Allah? Bukan milik kita ke? Kalau bukan milik kita, kenapa kita masih sombong dengan nikmat yang diberi oleh-Nya. Kita kata rezeki milik Allah tetapi pada masa yang sama, kita sombong dan ego. Kita alpa dan kita lupa bahawa rezeki kita turut dikongsi oleh orang lain di sekeliling kita. Kadang-kala haiwan juga turut menagih simpati. Mengharapkan sedikit habuan dan pemberian daripada kita.
Orang-orang kaya dan berharta seringkali lupa akan nasib mereka yang miskin. Mereka yang tergolong dalam kehidupan "kais pagi, makan pagi dan kais petang, makan petang." Golongan seperti ini perlukan pembelaan dan perhatian. Anak-anak mereka perlukan pendidikan. Hanya dengan ilmu, mereka mampu untuk mengubah haluan perjalanan dan nasib keluarga. Mereka juga ingin merasai nikmat kesenangan. Tetapi dihalang dengan kuasa wang yang semakin menghimpit segenap dada dan urat saraf. Akhirnya yang kaya akan menjadi semakin kaya dan yang miskin akan tetap berada pada tahap sekarang hingga bila-bila.
Atas sebab itulah, kebanyakkan (diulangi..."kebanyakkan" tetapi bukan semua) orang kaya tidak akan merasai keperitan kenaikan harga barangan dan sebagainya. Pendapatan yang mereka kecapi masih mampu untuk menampung kos perbelanjaan seharian yang semakin meningkat. Mereka juga masih mampu untuk membuat tabungan dalam jumlah yang besar. Berkereta mewah ke sana dan kemari. Tidak kurang juga yang bebas melancong ke sana-sini baik di dalam mahu pun di luar negara. Bagi mereka wang yang dikeluarkan tidak akan menjejaskan simpanan mereka. Ibarat hari ini hilang RM1000, besok wang yang akan masuk sebanyak RM2000 pula. Tidak terjejas sedikit pun. Hidup masih senang dan kehidupan terus mewah. Orang-orang beradalah katakan....
Bahkan penderitaan kenaikan kos ini juga tidak terasa kepada peduduk kampung yang hidup mereka seperti "katak bawah tempurung". Mereka juga tidak perlu bergerak ke sana ke mari. Tidak perlu untuk membayar tol setiap hari. Kehidupan mereka berada pada tahap yang paling maksima. Ada makan...pakai... sudah mencukupi. Hati tidak perlu risau untuk membayar sewa atau pinjaman perumahan. Semuanya sudah cukup lengkap walau pun dinding rumah hampir menyembah bumi. Ada pula yang bercakap besar mengalahkan menteri. Mereka lupa dan ego sedangkan kehidupan mereka terlalu terhimpit.
Biasanya golongan pertengahan yang berada di kampung dan di bandar inilah yang akan merasai keperitannya. Semua urusan perlukan duit. Sebaik sahaja mata dibuka, wang akan.mula mengalir keluar. Nilai wang yang semakin kecil menjadikan seolah-olah kita tidak mampu membeli apa-apa. Wang lesap sekelip mata. Bagaikan ada toyol berkepala botak, bermata sepit serta bercawat yang membahamnya.
Benarlah kata orang dan bukannya kata beruk atau yang sama spesis dengannya...
"Hari ini jika kita ke pasar malam dengan membawa not RM50, kita hanya akan mampu membawa pulang barangan yang dibeli dengan tangan kanan sahaja."
Faham maksudnya? Kalau tidak faham, abaikan sahaja. Bukan membawa sehingga ke kubur pun. Lainlah orang-orang yang banyak duit. Mereka yakin mereka masih mampu membawa duit hingga ke dalam lubang kubur. Sebab itu, otak mereka tepu. Maklumat tidak dapat diproses dengan sebaiknya demi kebaikan ummah.
Janganlah cuba dinafikan dengan berbagai alasan merapu. Setiap kenaikan sama ada pada harga minyak, tarif elektrik dan tol akan bersangkut-paut juga dengan kenaikan harga barangan. Hanya mereka yang buta hatinya sahaja tidak akan merasai apa-apa. Bagi mereka apa yang berlaku itu adalah ketentuan Ilahi. Sebenarnya mereka menipu kepada diri sendiri. Berlagak macam tahu walau pun tidak mengetahui apa-apa.
Mereka berkata...
"Tidak perlu mengeluh dan mengaum dengan berlagak macam orang bijak-pandai. Kalau sudah banyak komplennya, eloklah kamu yang menjadi perdana menteri."
Adakah pendapat begini yang perlu kita ikuti dan contohi. Pengalaman hidup sudah melangkau puluhan tahun tetapi akal pemikiran masih seperti kanak-kanak tadika 5 tahun. Aduhai....
Bak kata Suib SepahTu, "pening arrrrr!!!"
P/S : Kita kalau dah kaya. Duduk di rumah yang besar, kukuh dan selesa... janganlah dilupa kepada mereka yang kurang bernasib baik. Kitalah yang perlu membela nasib mereka. Ingatlah kita masih ada anak-anak. Hari ini kita mampu mengatur kehidupan anak-anak kita berdasarkan pengaruh yang kita ada. Tetapi kita kena ingat juga bahawa pada suatu hari kelak, mereka akan berdikari dan meneruskan perjuangan untuk hidup. Agak-agaknya adakah pada masa itu kita mampu ke untuk menjamin yang mereka juga akan hidup kaya-raya dan senang-lenang seperti kita sekarang. Tambah-tambah lagi, pada masa itu jasad kita telah pun di"makan" tanah....
Published with Blogger-droid v2.0.10
No comments:
Post a Comment