06 December 2016

Anak Gajah dan Kolam Si Tua



     Dalam sebuah rimba yang sunyi terdapat sebuah kolam. Airnya jernih dan dapat menyembuhkan pelbagai jenis penyakit. Banyak binatang akan ke kolam tersebut untuk menikmati airnya. Setelah diteguk, tubuh badan akan menjadi segar dan cergas seperti sedia kala. Kolam ini dijaga oleh seorang tua. Setiap binatang yang hadir akan dijaga dan dibelainya seumpama anaknya sendiri. Menurut cerita orang tua ini kesunyian, tiada tempat untuknya mencurahkan kasih sayang melainkan hanya kepada binatang-binatang yang berkunjung ke kolamnya sahaja.

     Pada suatu hari bapa gajah mengarahkan anaknya agar tinggal berhampiran dengan kolam tersebut. Anak gajah ini mempunyai penyakit. Bapanya berharap agar anaknya sembuh daripada penyakit yang dideritainya. Walau pun membantah dengan keputusan tersebut, anak gajah terpaksa menuruti. Maka berkelanalah anak gajah tersebut ke kolam itu. Kehadiran anak gajah ini juga disambut baik oleh orang tua penjaga kolam. Anak gajah ini dijaganya dengan sepenuh hati. Setiap pagi dimandikan dan diberikan makanan yang berkhasiat. Sesekali air mata anak gajah menitis apabila melihat makanan-makanan tersebut. Seumur hidupnya sebelum ini ia tidak pernah dapat menjamah makanan yang lazat sebegitu.

     Setelah setahun penyakit yang dideritai oleh anak gajah ini telah sembuh. Si Tua memulangkan semula anak gajah ini kepada bapa gajah. Anak gajah ini kembali semula ke kampung halamannya. Segala ilmu yang diperturunkan oleh si tua digunakannya untuk menghadapi cabaran kehidupan. Sejak dari itulah juga kolam tempat ia bermandi-manda suatu ketika dahulu terus ditinggalkannya. Ia lebih suka pergi ke kolam lain yang pada anggapannya mempunyai keunikan yang tersendiri. Hanya apabila ia mempunyai masalah, barulah ia berkunjung semula ke kolam itu. Setelah masalah selesai, ia pergi ke kolam lain untuk bergelak ketawa dan bersuka ria.

No comments:

Siapa Anda???

SALAM PERKENALAN - SALAM PERSAHABATAN

Berasal dari Endau, Johor Darul Takzim . Merantau ke Perak pada bulan Disember 1994 , setelah mendapat tawaran untuk mengikuti kursus perguruan di Maktab Perguruan Ipoh (kini Institut Perguruan Guru Kampus Ipoh) . Telah pun berkeluarga dan mempunyai sepasang cahaya mata .

Blog ini berjaya dijelmakan pada 20 November 2007 tepat jam 0930 semasa "aku" berkursus ICT di SK Dato Panglima Kinta , Ipoh, Perak . Bertepatan dengan tajuk yang diajarkan "aku" mengambil peluang untuk merealisasikan blog peribadi sendiri .

Hanya pada 17 April 2011 , aku membuat perubahan pada "URL"nya . "URL" lama telah digantikan kepada pijul09 . blogspot . com . Imej dan isi kandungannya tetap sama .

Blog ini diumpamakan sebuah diari . Di sini "aku" dapat bercerita tentang aktiviti seharian disamping mengutarakan pendapat serta pandanganku .

Semoga tiada sesiapa yang mempersoalkan isi kandungan blog ini dan menerima seadanya . Walau bagaimana pun segala sokongan dan teguran yang membina daripada rakan-rakan sangatlah diharapkan agar blog ini menjadi semakin mantap dari sehari ke sehari .

Terima kasih daun keladi kerana sudi menjengah ke "suatu sudut kecil" yang tidak seberapa ini . Hanya ALLAH yang mampu membalas budi baik tuan-tuan dan puan-puan sekalian...

Wassalam ... Adios ... Amigos ...

Pijul,
Ipoh , Perak .