07 March 2020

Cikgu dan penapis air berbayar...

Cikgu Nafisa berjalan lesu ke kelas Tahun 2 Aman. Dia dikehendaki ke kelas tersebut bagi menggantikan Ustazah Markonah yang mengambil cuti kecemasan awal pagi tadi. Khabarnya keadaan ibunya kritikal. Dia dikehendaki pulang ke kampung dengan segera.

Begitulah pekerjaan sebagai seorang guru. Apabila tiada guru mata pelajaran berkenaan maka guru-guru lain perlulah mengambilalih tempatnya. Walau pun bukan kemahirannya tetapi apabila dipertanggungjawabkan maka Cikgu Nafisa perlulah akur kepada arahan pentadbir. Lagi pun Cikgu Nafisa pernah bersekolah di SMKA sebelum ini. Jadi pengetahuannya dalam bidang agama tidaklah secetek mana.

Langkahnya pantas kerana bimbangkan keadaan murid-murid Tahun 2 Aman yang diketahuinya sangat aktif. Sambil itu bayangan penapis air coway menerjah ke dalam fikirannya. Disebabkan penapis air tersebutlah dia dimarahi oleh guru besar. Berlaku sedikit pertelingkahan kecil akibat salah faham. Walau pun kecil bahangnya tetap membara. Sakit hatinya apabila mendengar perkataan coway. Jika bolah dia tidak mahu lagi mendengar perkataan coway. Biarlah ia pergi bagaikan air sungai yang mengalir deras.

"Assalammualaikum murid-murid," ucap Cikgu Nafisa sebaik sahaja melangkah masuk ke dalam kelas tersebut.

Murid menjawab salam bersama-sama. Kuat dan bersemangat.

"Baiklah murid-murid. Hari ini cikgu menggantikan Ustazah Markonah. Cikgu akan mengisi tempatnya selama setengah jam bagi mata pelajaran Pendidikan Agama Islam. Baiklah...buka buku teks semua. Kita lihat pada tajuk yang terakhir yang diajarkan oleh ustazah sebelum ini."

"Tajuk apa sebelum ini?" tanya Cikgu Nafisa pendek.

"Jenis-jenis air, cikgu", Udin menjawab. Udin dikenali kerana dia adalah murid yang nakal di dalam kelas tersebut. Walau pun begitu, prestasinya dalam akademik agak membanggakan. Dia seorang yang pintar terutamanya dalam mata pelajaran matematik.

"Jika demikian, kita adakan ulangkaji terlebih dahulu," Cikgu Nafisa begitu bersemangat untuk memulakan sesi pengajarannya.

"Air terbahagi kepada 4 jenis iaitu air Mutlak, air Musta'amal, air Musyammas dan air Mutanajjis. Air Mutlak adalah suci dan menyucikan. Siapa di sini yang tahu dan boleh berikan cikgu contoh air mutlak..."

Kelas menjadi sunyi apabila soalan dilontarkan oleh Cikgu Nafisa. Begitulah keadaan murid zaman sekarang. Riuh-rendah bila berbual sesama sendiri tetapi membisu apabila dikehendaki mengutarakan pendapat atau menjawab secara lisan. Mulut masing-masing seolah-olah terkunci. Lidah pula seakan dikat dengan simpulan mati.

"Biar saya jawab cikgu," Udin berdiri sambil tersengih-sengih.

"Bagus Udin. Apa contoh-contohnya? Udin cakap kuat-kuat biar satu kelas mendengarnya." Cikgu Nafisa begitu teruja apabila melihat Udin begitu bersemangat.

"Contoh air mutlak ialah air Coway, cikgu," Udin menjawab dengan begitu yakin. Kuat pula hingga terdengar ke kelas sebelah.

"Apa air Cowayyyy!!!????" Cikgu Nafisa separuh menjerit.

"Mengapa perkataan itu juga yang kamu sebut??? Tiada perkataan lain lagi ke??? Sudahlah saya sekarang tak boleh mendengar perkataan nie... Tensionnya!!!"

Cikgu Nafisa terus terduduk. Semangatnya untuk mengajar terus lenyap. Malangnya, perkataan Coway tetap melekat di dalam pemikirannya.

"Agaknya...Coway ni akan memburuku sepanjang masa," Cikgu Nafisa merungut perlahan....

No comments:

Siapa Anda???

SALAM PERKENALAN - SALAM PERSAHABATAN

Berasal dari Endau, Johor Darul Takzim . Merantau ke Perak pada bulan Disember 1994 , setelah mendapat tawaran untuk mengikuti kursus perguruan di Maktab Perguruan Ipoh (kini Institut Perguruan Guru Kampus Ipoh) . Telah pun berkeluarga dan mempunyai sepasang cahaya mata .

Blog ini berjaya dijelmakan pada 20 November 2007 tepat jam 0930 semasa "aku" berkursus ICT di SK Dato Panglima Kinta , Ipoh, Perak . Bertepatan dengan tajuk yang diajarkan "aku" mengambil peluang untuk merealisasikan blog peribadi sendiri .

Hanya pada 17 April 2011 , aku membuat perubahan pada "URL"nya . "URL" lama telah digantikan kepada pijul09 . blogspot . com . Imej dan isi kandungannya tetap sama .

Blog ini diumpamakan sebuah diari . Di sini "aku" dapat bercerita tentang aktiviti seharian disamping mengutarakan pendapat serta pandanganku .

Semoga tiada sesiapa yang mempersoalkan isi kandungan blog ini dan menerima seadanya . Walau bagaimana pun segala sokongan dan teguran yang membina daripada rakan-rakan sangatlah diharapkan agar blog ini menjadi semakin mantap dari sehari ke sehari .

Terima kasih daun keladi kerana sudi menjengah ke "suatu sudut kecil" yang tidak seberapa ini . Hanya ALLAH yang mampu membalas budi baik tuan-tuan dan puan-puan sekalian...

Wassalam ... Adios ... Amigos ...

Pijul,
Ipoh , Perak .