17 April 2011

Telah Lama Ku Fikir-fikirkan...


Setelah puas kutelek dalam baldi, ku renung dengan pandangan makhrifat, ku selongkar di dalam almari antik dan ku pecahkan segala ruyung dan sagunya akhirnya ku temui juga ketetapan. Ketetapan agar aku dapat menulis sesuatu dengan lebih bebas tanpa memerlukan penjenamaan semula. Biarlah kali ini penulisanku kelihatan lebih terbuka serta tidak terkongkong dengan sesuatu hobi. Aku mahu penulisanku kali ini mampu merangkumi segenap ruang dan aspek.

Pernah dulu aku ditegur kerana paparan yang cuba kupaparkan tidak berkaitan dengan hobiku. Teguran itu dibuat sewaktu aku berbual (qso) di ruang udara. Aku menjawab soalan tersebut dengan tenang walau pun hatiku bergelora. Geram dengan sikap manusia yang tidak membaca keseluruhan yang dipaparkan di blog ini.

Aku pun tidak menyalahkan mereka kerana teguran sebegitu sememangnya sangat-sangatku harapkan. Itu pun berlaku kerana kesilapanku juga yang menggunakan url yang melibatkan callsign "radio amatur". Sepatutnya apa yang dipaparkan lebih kepada hobi dalam dunia "radio amatur" semata-mata. 

Tetapi akhirnya aku berpuashati kerana mereka semakin memahami dan menerima paparan yang terdapat di blogku yang lebih bersifat penceritaan peribadi. Aku cuma menggunakan 'radio amatur" sebagai perantara untuk menghubungkan ikatan silahturahim di antara rakan-rakan yang berada di dalam hobi ini.. 

Tidak lama selepas teguran itu, aku melihat blog rakan-rakan mula memuatkan cerita-cerita peribadi mereka. Malahan lebih hebat daripada blogku. Sudah terlihat keterbukaan dan adakalanya lebih terbuka apabila isi penceritaannya langsung tiada kaitan dengan "radio amatur". 

Perubahan url ini walaupun imejnya masih tetap sama adalah suatu kesinambungan untuk ikatan persahabatan yang lebih luas. Mungkin selepas ini aku perlu memikirkan sesuatu agar paparanku kelak tampak lebih menarik, kemas dan memberikan kepuasan kepada setiap pengunjungnya.

Akhir kata kalian tidak akan menemuiku lagi di "9w2dtl.blogspot" kerana "url"nya telah kuubah kepada "pijul09.blogspot.com" 

Wassalam....

No comments:

Siapa Anda???

SALAM PERKENALAN - SALAM PERSAHABATAN

Berasal dari Endau, Johor Darul Takzim . Merantau ke Perak pada bulan Disember 1994 , setelah mendapat tawaran untuk mengikuti kursus perguruan di Maktab Perguruan Ipoh (kini Institut Perguruan Guru Kampus Ipoh) . Telah pun berkeluarga dan mempunyai sepasang cahaya mata .

Blog ini berjaya dijelmakan pada 20 November 2007 tepat jam 0930 semasa "aku" berkursus ICT di SK Dato Panglima Kinta , Ipoh, Perak . Bertepatan dengan tajuk yang diajarkan "aku" mengambil peluang untuk merealisasikan blog peribadi sendiri .

Hanya pada 17 April 2011 , aku membuat perubahan pada "URL"nya . "URL" lama telah digantikan kepada pijul09 . blogspot . com . Imej dan isi kandungannya tetap sama .

Blog ini diumpamakan sebuah diari . Di sini "aku" dapat bercerita tentang aktiviti seharian disamping mengutarakan pendapat serta pandanganku .

Semoga tiada sesiapa yang mempersoalkan isi kandungan blog ini dan menerima seadanya . Walau bagaimana pun segala sokongan dan teguran yang membina daripada rakan-rakan sangatlah diharapkan agar blog ini menjadi semakin mantap dari sehari ke sehari .

Terima kasih daun keladi kerana sudi menjengah ke "suatu sudut kecil" yang tidak seberapa ini . Hanya ALLAH yang mampu membalas budi baik tuan-tuan dan puan-puan sekalian...

Wassalam ... Adios ... Amigos ...

Pijul,
Ipoh , Perak .