13 September 2011

Peperiksaan Bermula...



Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) bermula hari ini dan dijangkan berakhir pada hari Khamis (15 September 2011), sehari sebelum cuti "Hari Malaysia". Maka mulai hari ini selama 3 hari, debaran di dada murid-murid Tahun 6 di seluruh Malaysia bermula. Bolehkan setiap soalan dijawab dengan baik bergantung kepada persiapan masing-masing. Jika mantap persiapannya, mantaplah jawapannya pula.

Tahun ini merupakan tahun ke-3, "aku" bertugas sebagai Pengawas Peperiksaan UPSR semenjak bertugas di SK Tasik Damai. Sebelum itu semasa di SK Manjoi Dua, boleh dikatakan saban tahun tugas ini menjadi rutin kepadaku. Bukan sahaja UPSR, peperiksaan SPM juga "aku" turut menawar diri. Kadang-kala seronok, kadang-kala tertekan pun ada terutamanya apabila berkerjasama dengan Ketua-ketua Pengawas yang "pelik". Terasa tempoh masa yang pendek bagaikan terlalu lama untuk dihabisi.

Calon-calon peperiksaan pada setiap tahun pula berbeza-beza. Ada yang bersedia sepenuhnya, baik daripada segi mental dan fizikal serta terdapat juga yang hadir ke dewan peperiksaan sekadar pelengkap jadual. Jawapan yang ditulis sudah cukup memberikan gambaran bahawa pelajar tersebut tidak berminat atau mungkin juga langsung tidak bersedia. Mungkin bagi mereka, mata pelajaran akademik ini agak membebankan. Semoga ada ruang-ruang lain untuk mereka menjadi seorang insan yang berjaya kelak.

Keadaannya jauh berbeza kepada calon-calon yang bersedia. Mereka akan menjawab setiap soalan dengan begitu teliti. Masa digunakan dengan sebaik mungkin sehinggakan setelah arahan "Berhenti Menulis", mereka masih menari-narikan pen atau pensil di atas skrip jawapan. Sehinggakan ada yang mempamerkan "memek muka kesian" semasa kertas jawapan diambil seolah-olah mengharapkan agar diberikan tambahan masa. Pelajar seperti ini begitu dahagakan markah yang mampu menjadikan keputusan mereka lebih cemerlang.
Kepada semua calon-calon di mana jua mereka berada, ku doakan agar mereka mampu menjawab soalan dengan baik. Setelah segala usaha dilakukan, kini adalah medan untuk mereka turun berjuang. Sama ada berjaya atau pun kecundang, keputusannya akan diketahui mungkin pada bulan November kelak. Pada masa itu air mata akan berguguran. Air mata kegembiraan dan juga air mata kesedihan...

P/S : Tahun hadapan giliran "aku" dan isteriku pula yang berdebar. Anak sulung kami pula akan berjuang dalam UPSR. Kami sentiasa mengharapkan yang terbaik untuknya. Mampu berjaya dengan cemerlang di dunia dan juga di akhirat....

1 comment:

ALINA ZAINI said...

sama la kitakan, tahun depan lagi berdebar. sekarang berdebarkan anak murid je.........215 orang tau.

Siapa Anda???

SALAM PERKENALAN - SALAM PERSAHABATAN

Berasal dari Endau, Johor Darul Takzim . Merantau ke Perak pada bulan Disember 1994 , setelah mendapat tawaran untuk mengikuti kursus perguruan di Maktab Perguruan Ipoh (kini Institut Perguruan Guru Kampus Ipoh) . Telah pun berkeluarga dan mempunyai sepasang cahaya mata .

Blog ini berjaya dijelmakan pada 20 November 2007 tepat jam 0930 semasa "aku" berkursus ICT di SK Dato Panglima Kinta , Ipoh, Perak . Bertepatan dengan tajuk yang diajarkan "aku" mengambil peluang untuk merealisasikan blog peribadi sendiri .

Hanya pada 17 April 2011 , aku membuat perubahan pada "URL"nya . "URL" lama telah digantikan kepada pijul09 . blogspot . com . Imej dan isi kandungannya tetap sama .

Blog ini diumpamakan sebuah diari . Di sini "aku" dapat bercerita tentang aktiviti seharian disamping mengutarakan pendapat serta pandanganku .

Semoga tiada sesiapa yang mempersoalkan isi kandungan blog ini dan menerima seadanya . Walau bagaimana pun segala sokongan dan teguran yang membina daripada rakan-rakan sangatlah diharapkan agar blog ini menjadi semakin mantap dari sehari ke sehari .

Terima kasih daun keladi kerana sudi menjengah ke "suatu sudut kecil" yang tidak seberapa ini . Hanya ALLAH yang mampu membalas budi baik tuan-tuan dan puan-puan sekalian...

Wassalam ... Adios ... Amigos ...

Pijul,
Ipoh , Perak .