Agak lama, aku dan keluarga tidak berkunjung ke Kuala Lumpur. Tarikh akhir yang aku ingat ialah pada sekitar bulan Jun. Itu pun semasa majlis pertunangan anak kepada abang iparku di Kg Medan. Kunjungan kali ini sebenarnya untuk menziarahi anak sulung adik iparku yang telah pun selamat dilahirkan kira-kira dua minggu yang lepas.
Setelah bermalam di rumah sepupuku di Meru, kami meneruskan perjalanan ke Putrajaya. Matlamatku hanya satu iaitu untuk merakamkan bangunan-bangunan dan landskap-landskap yang terdapat di sana. Selainnya untuk memperlihatkan kepada anak-anakku tentang pusat pentadbiran Malaysia yang tersergam indah ini.
Walau bagaimana pun matlamatku sebenarnya tidak tercapai 100%. Rasanya keseronokan melihat telatah ahli-ahli keluargaku melebihi daripada segalanya. Mereka ternyata riang dan berpuas hati. Di Putrajaya, anak-anakku dan juga sepupunya berpeluang untuk mandi di kolam renang yang disediakan untuk tujuan rekreasi. Kanak-kanak apabila dapat bermain dengan air, apa pun tidak dihiraukan oleh mereka lagi. Hatta hujan mahu pun ribut. Hanya kita sebagai ibubapa merekalah yang bergundah-gulana buat seketika.
Malamnya pula kami ke ICT yang terletak di Shah Alam. Sebuah pusat hiburan yang dibangunkan berkonsepkan cahaya. Bayarannya percuma cuma sewa parking sahaja yang dikenakan untuk sebuah kenderaan yang masuk (sebenarnya berbayar, cuma istilah diputarbelitkan demi melariskan perniagaan).
Untuk tempat-tempat permainan yang lain semuanya dikenakan bayaran tertentu. Murah bagi mereka yang berpendapatan tinggi manakala sebaliknya bagi yang berpendapatan rendah. Biasanya alasan mudah untuk meyejukkan hati, "Sekali-sekala, bukan selalu pun. Selepas ini, entah bilalah lagi". Bagiku ICT lebih berbentuk "fun fair" yang dijelmakan dalam bentuk yang baru. Konsepnya semata-mata untuk berlibur dan melupakan masalah dunia buat sementara waktu.
Dari ICT kami terus ke Bukit Aman untuk bermalam di sana pula. Keesokannya pula lebih kepada agenda keluarga mertuaku dan fokus utamanya ialah untuk melihat "baby" baru di Selayang. Apa yang aku rasakan saat itu hanyalah mata yang semakin memberat dengan keinginan untuk mendapatkan bantal serta tilam yang empuk. Itu pun jika ada...
P/S : Semakin banyak kita berjalan, semakin banyaklah pengalaman yang ditempuhi. Terlintas juga untuk melihat tempat-tempat lain di luar Malaysia. Terutamanya kawasan-kawasan sejarah para Anbia. Entah bilalah baru tercapai hasratku itu...





No comments:
Post a Comment