Setelah 10 hari kejadian pecah rumah jiran sebelahku, aku terpanggil untuk mencoretkan sesuatu. Menulis bagi menzahirkan apa yang terbuku dibenakku. Kejadian tersebut benar-benar mengganggu hati dan perasaan keluargaku. Kebimbangan mula melanda. Seolah-seolah si penjenayah memerhatikan setiap masa. Apakah berada di dalam rumah sendiri boleh menjadi suatu perangkap yang akan menjadikan penjenayah semakin berani untuk menakutkan penghuni rumah.
Kejadian di rumah sebelahku ini bukanlah merupakan kes yang pertama. Sebelum ini pun sudah ada beberapa buah rumah yang telah mengalami nasib yang sama. Modus operandinya tetap sama. Penjenayah akan memanjat hingga ke atas bumbung. Membuka dua keping atap genting. Masuk ke dalam siling dan keluar mengikut "pintu siling" yang berada di dalam bilik air. Penjenayah kemudiannya akan mencari kunci pintu belakang dan barangan akan dibawa keluar dengan mudah.
Jika tidak menjumpai kunci tersebut, penjenayah hanya akan mampu membawa barangan kecil yang hanya boleh dihulurkan di tingkap bilik belakang sahaja. Jiran sebelahku ini boleh diketegorikan sebagai bernasib baik. Penjenayah gagal menjumpai kunci tersebut. Hasilnya si penjenayah hanya berjaya mencuri sebuah pemain dvd dan permainan PS2. Suatu hasil yang tidaklah menguntungkan sangat berbanding jika tertangkap. Hukuman yang bakal diterima tentulah lebih perit lagi.
Kawasan belakang rumahku pula tidak berpenghuni. Hanya ada sebuah loji kumbahan Indah Water milik taman perumahan lain. Penjenayah menjadikan situasi ini sebagai suatu ruang yang boleh digunakan untuk melarikan diri. dan juga untuk menjalankan kegiatan haram mereka. Bersembunyi dan memerhatikan rumah-rumah yang tidak berpenghuni. Rumah yang bakal menjadi mangsa seterusnya.
Selepas kejadian tersebut pihak berkuasa seperti Polis dan RELA telah mula mengetatkan pengawasan mereka. Keadaan ini secara tidak langsung menyebabkan aktiviti penjenayah menjadi agak perlahan. Namun seperti "jerat, mereka pasti tidak akan melupakan pelanduk". Kealpaan dan kecuaian kita akan membuka ruang kepada untuk mereka bertindak.
Perkara berikut menyebabkan otaku semakin sarat :
Apakah ini semua bala hinggakan penjenayah semakin bermaharaja-lela?
Apakah kadar pengangguran semakin tinggi hingga menyebabkan generasi sekarang memilih jalan pintas untuk meneruskan kehidupan?
Apakah generasi-generasi sekarang terlalu manja hingga untuk bekerja mencari pendapatan yang halal pun mereka menjadi terlalu malas?
Jika keadaan ini berterusan, tidak mustahil kita akan merasa semakin tidak selamat. Penjenayah semakin berleluasa. Langkah pencegahan pun kita tidak mampu untuk dilaksanakan sepenuhnya. Masing-masing bersikap pentingkan diri sendiri dan masih berpegang atas prinsip "tidak mahu menjaga tepi kain orang lain". Apakah bila terkena batang hidung sendiri barulah kita mula terngadah???
P/S : Sebenarnya segala kejadian ini merupakan pengajaran agar kita sedar siapa diri kita yang sebenarnya. Kita masih ada ALLAH dan hanya kepada-NYA, tempat yang sebaik-baik untuk meminta pertolongan serta perlindungan...
2 comments:
mcm2 dunia sekarang...... semua nak senang tanpa memperdulikan hak orang lain...
Dunia akhir zaman...
Post a Comment