(sekadar gambar hiasan)
Kehidupan juga memerlukan kita menjadi seorang yang cekal. Setiap hari kita diuji dengan pelbagai nikmat oleh ALLAH SWT. Hanya ilmu dan ketakwaan yang boleh menjadi benteng yang dapat melindungi diri daripada sebarang hasutan syaitan. Bukankah syaitan setiasa mengambil peluang untuk mempengaruhi kita sama ada ketika senang mahu pun susah. Oleh yang demikian, jadikanlah ALLAH sebagai tempat untuk mengadu sebarang masalah. ALLAH mendengar segala luahan kita kerana kita adalah hamba kepada-NYA.
Manusia sering kali terlupa bahawa mereka adalah penghuni sementara di dunia ini. Lupa juga bahawa mereka adalah berstatus hamba. Keadaan inilah yang menyebabkan kita menjadi alpa dan leka. Sering kali juga kita memberikan syarat kepada ALLAH. Pernah terlintas di benak kita akan doa-doa sebegini saat kita bermunajat kepada ILAHI,
"Ya ALLAH, jika aku kaya, aku akan bersedekah di mana-mana sahaja..."
"Ya ALLAH, jika aku sihat barulah aku akan pergi ke surau atau masjid."
"Ya ALLAH, mengapa Kau duga aku dengan dugaan sebegini berat, mengapa tidak kepada orang lain?"
"Ya ALLAH, aku akan bersolat setelah umurku mencecah 50 tahun."
Begitulah halnya kita meletakkan syarat kepada ALLAH SWT. Ada juga yang meminta itu dan ini. Apabila dirasakan ALLAH tidak memakbulkan permohonan kita, hati mula menjadi lalai. Maka segala ibadat yang fardhu ditinggalkan. Kita seolah-olah kecewa kepada ALLAH.
Jika kita kerap menilai diri, rasanya perasaan kecewa kepada ALLAH tidak akan timbul. Sebagai Zat Yang Maha Agung, segalanya adalah milik DIA. Sama ada segala permohonan itu dimakbulkan atau pun tidak, semuanya adalah kehendak ALLAH. Kita perlu akur kerana kita adalah hamba. Hamba yang menumpang di muka bumi ini selagi diberikan nafas dan nyawa. Bila tiba masanya kita akan kembali kepada yang hakiki dan abadi.
Teruskan tugas kita sebagai hamba kerana itu adalah tugas kita. Tugas yang diikrarkan sebelum kita ke dunia. Ingatlah kita cuma HAMBA...
P/S : Manusia bila menjadi tuan, mula lupa diri. Bermacam-macam pengelasan diberikan kepada orang bawahan. Bukankah jawatan itu tidak akan kekal. Hidup ibarat roda, kadang-kadang berada di atas, kadang-kadang berada di bawah...
No comments:
Post a Comment