Tuntutan mecari ilmu adalah suatu yang difardhukan dalam Islam. Sejak dari dalam kandungan lagi, kita telah diberikan pendidikan. Pelbagai cara dan teknik digunakan. Ciri-ciri pemakanan yang baik juga diamalkan agar bayi yang lahir kelak menjadi pintar dan bijak. Amalan-amalan seperti ini bagaimanapun perlu diselaraskan dengan kehendak syariat agar mampu melahirkan generasi yang terbilang.
Proses pendidikan ini berterusan sehingga ke liang lahad. "Talkin" dibacakan saat jenazah yang kaku telah pun bersemadi di dalam tanah. Walau pun si mati tidak lagi mendengar “talkin” tersebut tetapi ianya merupakan pengajaran bagi yang masih hidup. Beramal selagi nyawa masih dikandung badan. Agar amalan tersebut dapat manjadi peneman berguna semasa di Akhirat kelak.
Mendidik murid-murid generasi kini memerlukan kita mencari kaedah terbaik. Penelitian dan pemerhatian perlu agar mereka bukan sahaja cemerlang dalam bidang akademik tetapi juga turut cemerlang dalam pelbagai disiplin yang diceburi. Kita tidak mahu melahirkan generasi yang “berat sebelah”. Hanya cemerlang dalam bidang akademik tetapi daripada segi sahsiah dan disiplinnya berada dalam tahap yang mengecewakan. Kelihatan bijak tetapi bila berselisih dengan guru, mulut terlalu berat untuk melemparkan senyuman. Apatah lagi untuk memberi salam atau pun ucapan sejahtera kepada guru dan golongan yang lebih tua.
Kita tidak mahu lahir insan-insan yang sombong. Insan-insan yang hanya mementingkan diri sendiri. Bersikap biadap dengan mereka yang telah berjasa. Malah lebih mengecewakan seandainya mereka suka menderhaka kepada ibu dan bapa. Jika ini yang terjadi ternya kita gagal walaupun murid berkenaan berjaya menyandang jawatan-jawatan tinggi dan dikenali dalam masyarakat. Inilah yang berlaku sekarang generasi muda semakin bersikap “kurang ajar” serta enggan menghormati mereka yang lebih berpengalaman.
Tanggungjawab guru di sekolah sebenarnya bukan setakat mengajar pelajaran-pelajaran akademik tetapi perlu ada tarbiah dalam proses pengajaran agar anak-anak didik akan terbiasa dengan nasihat. Secara tidak langsung juga akan tertanam dalam jiwa mereka untuk menjadi insan yang berguna di dunia dan juga di akhirat.
P/S : Kadang-kadang kita terlupa cara pengajaran guru-guru kita dahulu. Mereka mengajar kita dengan tegas dan penuh kesabaran. Hasilnya lahirlah generasi yang ada sekarang. Pendidkan berkonsepkan tarbiah dan penggunaan rotan mampu menggugah jiwa manusia. Jika sekarang, rotan digunakan, alamatnya berpeluh ketiaklah guru tersebut hendak menjawabnya...
No comments:
Post a Comment