4 Jun 2013 - Hari ke-2, aku bertugas sebagai pengawas peperiksaan ACCA. Memikul tanggungjawab bersama dengan 9 orang rakan yang lain untuk memastikan perjalanan peperiksaan ini berjalan dengan lancar. Ini merupakan kali ke-2, aku dipanggil bertugas oleh pihak Jabatan Pelajaran Perak. Pertama kali pada Disember 2012, juga di tempat yang sama.
Isnin minggu lepas kami telah dipanggil untuk menghadiri taklimat peperiksaan di Hotel Heritage. Lawatan ke pusat peperiksaan di "Sunway College" pula diadakan pada hari Jumaat. Tugas sebagai pengawas peperiksaan ACCA merupakan suatu tugas yang agak mencabar. Kami berhadapan dengan karenah calon peperiksaan yang telah dewasa.
Berbagai-bagai ragam yang boleh dilihat sepanjang peperiksaan berlangsung. Gelabah... gementar... gelisah... gemuruh jelas terpapar pada raut wajah masing-masing. Difahamkan juga yuran untuk menduduki peperiksaan ini agak mahal. Oleh yang demikian, calon perlu menjawab dengan sebaik dan sesempurna mungkin. Skrip-skrip jawapan pula akan dihantar ke England untuk dinilai oleh mereka yang pakar.
The Assiciation of Chartered Certified Accountants atau ringkasnya ACCA merupakan kelayakan yang perlu ada kepada seorang akauntan profesional. Sijil ini dikeluarkan oleh ibu pejabat ACCA yang berpengkalan di Glasgow, Scotland.
Sepanjang pemerhatian pada peperiksaan ACCA Disember 2012 yang lepas, majoriti calon-calon peperiksaan adalah berbangsa Cina. Hanya sedikit calon-calon berbangsa Melayu dan India. Apakah kerana faktor bayaran atau kurangnya maklumat tentang kepentingan peperiksaan ini yang menyebabkan hanya sedikit calon-calon Melayu dan India yang mendudukinya. Mungkin juga tahap penguasaan Bahasa Inggeris yang lemah menyebabkan pelajar-pelajar Melayu enggan mengambil sebarang risiko.
Sepanjang pemerhatian pada peperiksaan ACCA Disember 2012 yang lepas, majoriti calon-calon peperiksaan adalah berbangsa Cina. Hanya sedikit calon-calon berbangsa Melayu dan India. Apakah kerana faktor bayaran atau kurangnya maklumat tentang kepentingan peperiksaan ini yang menyebabkan hanya sedikit calon-calon Melayu dan India yang mendudukinya. Mungkin juga tahap penguasaan Bahasa Inggeris yang lemah menyebabkan pelajar-pelajar Melayu enggan mengambil sebarang risiko.
Soalan-soalan yang dikemukakan sememangnya sukar. Pujian harus diberikan kepada mereka kerana mampu mengharungi ujian ini. Terdapat juga calon-calon yang telah berumur sehingga umur 60 tahun ke atas. Mereka mampu menjawab setiap soalan dengan baik. Ternyata pendapat yang mengatakan otak sudah berkarat untuk menimba ilmu pada usia sebegini merupakan pendapat yang karut. Otak manusia sekiranya kerap dijana akan menjadi semakin bergeliga dan mampu menyelesaikan sebarang masalah yang timbul.
Selain mereka, terdapat juga calon-calon OKU. Setakat ini ada 2 orang calon yang menduduki peperiksaan ini. Seorang lelaki berbangsa Cina yang menghidap polio dan seorang lagi seorang perempuan Melayu yang mengalami gangguan saraf. Mereka tetap berusaha untuk mencapai cita-cita dan impian untuk memiliki sijil yang diiktiraf oleh pihak ACCA. Terbukti kecacatan bukanlah halangan untuk kita mengecap kejayaan.
P/S : Kita selalu kagum dengan kejayaan orang lain. Tetapi kita tidak menyedari akan rintangan yang mereka hadapi. Pendakian ke puncak bukanlah sesuatu yang mudah. Terlalu banyak rintangan dan halangan yang perlu ditempuhi. Apabila melepasi segalanya, kejayaan dirasakan indah dan sungguh bererti....
No comments:
Post a Comment