Anak-anak dahulu memang tidak pandai menipu. Walau pun ada ruang dan peluang untuk menipu, mereka tidak akan mengambil kesempatan. Mereka lebih suka mendiamkan diri. Menghadapi setiap permasalahan dan dugaan hidup dengan penuh sabar. Menelan segala kepahitan walau pun jiwa merintih dan memberontak. Jika mereka mengadu sekali pun tentang kegarangan seorang guru, mereka yang akan terkena tempiasnya kembali. Mereka akan dimarahi. Ibubapa akan sentiasa berpihak kepada guru. Pelbagai alasan akan diberikan sebagai menyetujui setiap tindakan yang telah diambil.
Lagi pun pada zaman itu, kita dididik dengan Islam. Usai sesi persekolahan kita akan bekejaran ke "balai-balai" untuk mengaji Al-Quran. Gurunya mengajar dengan penuh ikhlas. Kalau ada pun imbuhannya hanyalah sekilo gula atau pun tepung... lebih kepada keperluan asas. Tersilap semasa menyebut atau otak terlalu "benak" semasa mengaji Al-Quran, alamatnya akan berbiratlah tangan dan badan. Mata pun menjadi penyumbang kerana pada masa tersebutlah perasaaan mengantuk yang amat sangat akan menyelubungi diri. Apabila kepala tersengguk-sengguk maka rotanlah yang akan menjadi penawarnya.
Walau pun anak-anak berbirat pada tapak tangannya, ibu bapa tetap tidak berpihak kepada anak-anak mereka. Jauh sekali untuk menyerang atau menyergah guru terbabit. Baik dia merupakan seorang guru sekolah mahu pun guru mengaji Al-Quran. Sebab itulah ilmu menjadi berkat. Anak-anak didik begitu menghormati guru. Mereka pun tidak mahu hati guru terguris dan tercalar perasaannya. Mereka juga tidak akan berbohong kepada ibubapa dengan memberikan pelbagai alasan hanya untuk menyelamatkan diri atau pun takut kepada kegarangan ibubapa.
Malamnya pula, anak-anak akan ke surau atau masjid untuk berjemaah. Selang masa antara waktu Maghrib dan Isyak si anak akan menadah telinga mendengar nasihat-nasihat agama yang disampaikan oleh ustaz-ustaz. Adakalanya terdapat juga rombongan jemaah tabligh yang singgah bermusafir di masjid. Mereka akan bercerita tentang sirah Rasulullah dan hari pembalasan. Sekurang-kurangnya terisilah juga jiwa si anak-anak ini dengan iman dan takwa. Perasaan takut akan kemurkaan Allah menular di dalam diri.
Anak-anak sekarang... tiada sentuhan fizikal pun sudah mengadu yang bukan-bukan pasal guru. Si ibubapa pula mudah melenting. Siasatan tidak dibuat terlebih dahulu. Cakap-cakap dan aduan si anak-anak didengar bulat-bulat. Ugutan pun dibuat di hadapan anak. Khabarnya orang-orang kenamaan akan dihubungi. Kerana dendam menyelubungi diri, guru tersebut akan diugut untuk ditukarkan ke sana-sini. Maka tersenyum sinislah sang anak melihat maruah seorang guru diperkotak-katikkan.
Dalam hatinya mungkin terucap, "padan muka kamu.. garang sangat."
"Selepas ini, tidak perlulah aku menyelesaikan kerja-kerja sekolah. Jika guru marah, aku akan mengadu kepada ayahku dan ayahku pula pasti akan menyerang guru itu kembali..."
Dalam hatinya mungkin terucap, "padan muka kamu.. garang sangat."
"Selepas ini, tidak perlulah aku menyelesaikan kerja-kerja sekolah. Jika guru marah, aku akan mengadu kepada ayahku dan ayahku pula pasti akan menyerang guru itu kembali..."
Bagaimana disiplin murid boleh menjadi cemerlang, andainya semua tindakan guru dipertikaikan. Guru yang gila sekali pun tidak akan menjadikan anak-anak didik mereka gila apatah lagi untuk mencederakannya kerana itu adalah naluri seorang guru yang bernama guru....
Ubah sikap dan pemikiran kita agar generasi kita mampu menjadi yang terbilang di mata dunia....
P/S : Baguslah jika kita mempunyai hubungan yang baik dengan para menteri. Hubungan begini sepatutnya boleh kita gunakan untuk memajukan sekolah. Janganlah kita gunakan hubungan tersebut untuk mengugut dan menakut-nakutkan seseorang. Ingatlah, kita ada Allah. Hari ini kita buat pada orang, suatu hari nanti kita pula yang akan dibuat oleh orang lain. Kalau tidak kepada kita mungkin pada anak cucu cicit kita. Allah bayar "cash" semua tu....
No comments:
Post a Comment