07 September 2015

Budak dan bola.



"Malaysia kalah lagi!!!" kata rakan setugasku semasa berada di kantin.

Dia kelihatan begitu kecewa. Marahnya jika dicurahkan dengan minyak petrol boleh menyebabkan seluruh kawasan Ipoh terbakar. 

"Jika kalah setakat 1 atau 2 tanpa balas tu taklah mengapa. Ini kalah sampai 10-0. Mereka kata mereka pemain profesional tetapi main seperti pasukan bola sepak kampung. Rasa aku pasukan kampung aku lebih baik daripada pasukan Malaysia." 

Selesai dia berhujah air kopi "O" yang dicampurkan dengan pemanis stevia ditegukknya berberapa kali. Barangkali untuk meredakan kemarahan dan kekecewaannya keatas pasukan negara. Dia memang penyokong fanatik. Sebut sahaja pasal pasukan Malaysia, semua maklumat dihujung jarinya. Petik sahaja dan segalanya akan terpancul. Daripada A sehingga Z. Semudah membaca ABC.

Senario di atas adalah sebahagian daripada reaksi rakyat Malaysia tempoh hari. Bukan sahaja orang dewasa, kanak-kanak pun memberikan reaksi kecewa. Entah dimana kesilapannya sehingga pasukan negara diratah sebegitu mudah. Mereka seolah-olah diajar tentang cara untuk bermain bola sepak oleh pasukan bola sepak UAE. Kita ditelanjangkan dan diaibkan dihadapan penyokong mereka dan penonton seluruh dunia yang menyaksikan secara langsung di kaca televisyen.

Ekoran daripada kekalahan tersebut jurulatihnya, Dollah Salleh mengumumkan perletakkan jawatan. Para peminat menerima dengan hati yang terbuka. Ramai yang memuji dan mencemuh. Tindakan meletakkan jawatan adalah jalan terbaik untuk meredakan kemarahan peminat. Begitulah sikap seorang yang bertanggung jawab. Sanggup untuk meninggalkan jawatan demi kepentingan semua. Bukan seperti mana sesetengah pemimpin yang terus memegang jawatan walau pun dilanda pelbagai skandal dan tuduhan.

Semoga ada sedikit perubahan dibawah jurulatih sementara apabila pasukan negara melayan kunjungan Arab Saudi pada Selasa ini. Kita hendak melihat suatu persembahan yang berkualiti dan yang paling penting peminat terlalu laparkan kejayaan. Kenyangkan peminat dahulu dan selepas itu anda (pemain Malaysia) akan kenyang dengan pujian. Adil bukan....

P/S : Apabila melihat gambar di atas terkenang semasa zaman persekolahan dahulu. Waktu PJ memang dinanti-nantikan. Masa tu akan ada 2 kelas yang bertembung. Kami diberikan bola dan perlawanan antara kelas menjadi suatu yang menarik. Kelas yang terdiri daripada murid-murid yang pandai bertemu dengan kelas yang sederhana kecerdikannya. Biasanya yang akan menang ialah kelas murid sederhana kecerdikannya. Budak pandai ni bukannya reti bermain. Mereka seperti robot yang telah diprogramkan. Mana boleh menang... Hehehe....

No comments:

Siapa Anda???

SALAM PERKENALAN - SALAM PERSAHABATAN

Berasal dari Endau, Johor Darul Takzim . Merantau ke Perak pada bulan Disember 1994 , setelah mendapat tawaran untuk mengikuti kursus perguruan di Maktab Perguruan Ipoh (kini Institut Perguruan Guru Kampus Ipoh) . Telah pun berkeluarga dan mempunyai sepasang cahaya mata .

Blog ini berjaya dijelmakan pada 20 November 2007 tepat jam 0930 semasa "aku" berkursus ICT di SK Dato Panglima Kinta , Ipoh, Perak . Bertepatan dengan tajuk yang diajarkan "aku" mengambil peluang untuk merealisasikan blog peribadi sendiri .

Hanya pada 17 April 2011 , aku membuat perubahan pada "URL"nya . "URL" lama telah digantikan kepada pijul09 . blogspot . com . Imej dan isi kandungannya tetap sama .

Blog ini diumpamakan sebuah diari . Di sini "aku" dapat bercerita tentang aktiviti seharian disamping mengutarakan pendapat serta pandanganku .

Semoga tiada sesiapa yang mempersoalkan isi kandungan blog ini dan menerima seadanya . Walau bagaimana pun segala sokongan dan teguran yang membina daripada rakan-rakan sangatlah diharapkan agar blog ini menjadi semakin mantap dari sehari ke sehari .

Terima kasih daun keladi kerana sudi menjengah ke "suatu sudut kecil" yang tidak seberapa ini . Hanya ALLAH yang mampu membalas budi baik tuan-tuan dan puan-puan sekalian...

Wassalam ... Adios ... Amigos ...

Pijul,
Ipoh , Perak .