11 June 2018

Jom ke Labong....


"Tajul, tolong Tok Bak ambilkan pengasah pisau. Tok Bak nak asah pisau ini dulu. Selepas itu, kita boleh pergi ke dusun kita di Labong," kata Tok Bak sambil mengemas barangan dan peralatan yang hendak dibawa.

"Baik, Tok Bak," jawab Tajul ringkas.

Mata Tok Bak sesekali menjeling ke arah cucunya itu. Tajul satu-satunya cucu yang tinggal dengannya. Dia bukannya tiada ayah dan emak. Cuma sekadar menumpang sementara. Lagi pun tidak lama lagi Tajul akan menghadapi peperiksaan SRP. Biarlah dia tinggal dengannya dulu agar dapat memberi tumpuan terhadap pelajarannya. Mungkin tahun depan apabila telah melangkah ketingkatan 4, dia akan tinggal di rumah ibu bapanya. Lagi pun rumah mereka tidak jauh daripada rumah Tok Bak dan Tok Maknya.

Tok Bak dapat melihat wajah Tajul kelihatan sugul. Seolah-olah sang mentari yang dihalang pancarannya oleh awan. Tidak bermaya. Tidak ceria seperti biasa.

"Kenapa dengan kamu, Tajul?" tanya Tok Bak sebaik sahaja Tajul menghampirinya.

"Tiada apa-apa Tok Bak. Tajul macam biasa saja." Dia menghulurkan pengasah pisau yang baru diambilnya itu.

"Kamu sudah lama tinggal dengan Tok Bak, Tajul. Daripada riak wajah kamu, Tok Bak tahu, kamu ada sesuatu yang terpendam di dalam hati kamu. Ceritalah..." pujuk Tok Bak lagi.

Tajul memandang ke arah pokok mentega. Di bawahnya kelihatan beberapa ekor ayam sedang mengais-gais. Ayam-ayam itu rajin mencari rezeki. Manusia yang cukup sifat dan rupa pun tidak terlawan dengan kerajinan ayam. Manusia suka bangun apabila matahari sudah meninggi di langit  sedangkan ayam-ayam ini telah bertungkus-lumus mencari rezeki sebaik sahaja sang suria mulai memancarkan sinarnya.

Lama juga Tajul memandang ke arah ayam-ayam itu. Dia tersedar daripada lamunannya apabila terdengar Tok Baknya berdehem kecil. Dalam hatinya berbelah-bahagi sama ada ingin menceritakan apa yang terbuku atau pun membiarkan sahaja perasaan itu tersimpan jauh dilubuk hatinya. Dia bungkam...

"Be... be.. gini Tok Bak..." Tajul gementar untuk memulakan bicaranya. Setelah menelan air liurnya beberapa kali, Tajul menyambung...

"Saya... jika ada orang yang memohon pertolongan. Sedaya upaya, saya akan tunaikan kehendak mereka. Tetapi bila mana saya berkehendakkan pertolongan mereka. Ada yang buat tidak tahu. Ada yang buat-buat lupa. Sedangkan pertolongan yang saya perlukan itu hanya sekadar tenaga sahaja. Bukan melibatkan duit pun..." Lancar Tajul meluahkan perasaan yang terpendam di dalam hatinya.

Tok Bak hanya tersenyum. Kelihatan raut wajah tuanya itu sangat tenang sebaik mendengar keluahan cucunya itu.

"Oh, itu rupanya yang menganggu perasaan kamu," kata Tok Bak sambil menepuk-nepuk bahu cucunya itu.

"Tok Bak hendak bertanya satu soalan sahaja kepada kamu. Boleh kamu menjawabnya..."

"Insyaallah, boleh Tok Bak," jawab Tajul dengan penuh yakin.

"Siapa yang memberikan kamu pahala? Manusia atau pun Allah?" Tok Bak mengutarakan soalannya. Ringkas tetapi penuh bermakna.

"Allah, Tok Bak," jawab Tajul. Dalam hatinya terdetik rungutan kecil..."budak kecil pun tahu jawapannya."

Sambung Tok Bak lagi..."Jika budak kecil pun mengetahui jawapan tersebut, pasti kamu juga akan memahami perkaitannya."

Tajul terdiam seketika. Terus terfikir bagaimana rungutan di dalam hatinya boleh didengari oleh Tok Bak. Ajaib sungguh...

"Kamu ikhlas membantu, itu semua urusan kamu dengan Allah. Dia yang memberikan ganjaran kepada kamu. Jadi janganlah kamu bersedih andainya tiada orang lain yang sudi membantu kamu. Kemungkinan pada masa hadapan akan ada insan-insan lain pula yang ikhlas menghulurkan pertolongan. Kamu faham apa yang Tok Bak perkatakan ini?"

"Faham Tok Bak." Perasaan Tajul terasa lapang. Sekurang-kurangnya nasihat Tok Bak berbekas dihatinya.

"Tok Bak pun sudah siap mengasah parang ini. Mari kita bergerak ke Labong. Nanti petang pula kita siap menebas." Tok Bak terus menghidupkan enjin motorsikal Honda 90nya. Agak lama tapi masih gagah berbakti kepada tuannya itu.

"Baiklah Tok Bak." Tajul terus duduk di belakang Tok Baknya dan mereka terus bergerak ke tempat yang dituju....

No comments:

Siapa Anda???

SALAM PERKENALAN - SALAM PERSAHABATAN

Berasal dari Endau, Johor Darul Takzim . Merantau ke Perak pada bulan Disember 1994 , setelah mendapat tawaran untuk mengikuti kursus perguruan di Maktab Perguruan Ipoh (kini Institut Perguruan Guru Kampus Ipoh) . Telah pun berkeluarga dan mempunyai sepasang cahaya mata .

Blog ini berjaya dijelmakan pada 20 November 2007 tepat jam 0930 semasa "aku" berkursus ICT di SK Dato Panglima Kinta , Ipoh, Perak . Bertepatan dengan tajuk yang diajarkan "aku" mengambil peluang untuk merealisasikan blog peribadi sendiri .

Hanya pada 17 April 2011 , aku membuat perubahan pada "URL"nya . "URL" lama telah digantikan kepada pijul09 . blogspot . com . Imej dan isi kandungannya tetap sama .

Blog ini diumpamakan sebuah diari . Di sini "aku" dapat bercerita tentang aktiviti seharian disamping mengutarakan pendapat serta pandanganku .

Semoga tiada sesiapa yang mempersoalkan isi kandungan blog ini dan menerima seadanya . Walau bagaimana pun segala sokongan dan teguran yang membina daripada rakan-rakan sangatlah diharapkan agar blog ini menjadi semakin mantap dari sehari ke sehari .

Terima kasih daun keladi kerana sudi menjengah ke "suatu sudut kecil" yang tidak seberapa ini . Hanya ALLAH yang mampu membalas budi baik tuan-tuan dan puan-puan sekalian...

Wassalam ... Adios ... Amigos ...

Pijul,
Ipoh , Perak .